Memudahkan penggayaan tudung kepada Muslimah yang mementingkan fesyen, jenama tersebut menjadi pilihan khususnya kepada wanita bekerjaya yang sentiasa ingin cepat bersiap, tetapi pada masa yang sama mahu penampilan nampak berkeyakinan.

Diasaskan sejak dua tahun lalu oleh pasangan selebriti, Hanis Zalikha dan Hairul Azreen apabila si isteri yang baharu mengenakan hijab mahu menempah sendiri selendang sifon supaya ukuran dan jahitannya sesuai dengan bentuk muka dan selesa digayakan.

Setiap selendang yang digayakan Hanis Zalikha kelihatan ‘terletak’ elok di kepala, membuatkan peminat-peminatnya sering bertanya jenama tudung yang dipakainya.

Si suami lalu memberi idea agar menjahitnya secara pukal supaya peminat dapat membeli selendang yang sama.

“Apabila kami mengambil keputusan untuk menjalankan perniagaan fesyen secara serius, kami mahu mengeluarkan produk yang unik, yang mana selendang tersebut bukan sekadar selendang sifon yang boleh didapati di pasaran.

“Untuk mewujudkan peluang perniagaan baharu, kami perlu berfikir di luar kotak dan Hairul meminta saya memikirkan penyelesaian kepada masalah wanita bertudung.

“Akhirnya saya mendapat idea daripada masalah saya sendiri. Saya selalu kehilangan kerongsang apabila mahu memakai tudung jadi saya rasa wanita-wanita lain juga berhadapan dengan masalah ini.

“Lalu terhasil jenama Cakenis yang menampilkan inovasi selendang bercangkuk tanpa perlu memakai kerongsang atau jarum,” katanya.

Kedua-duanya tidak menyangka rekaan selendang yang dinamakan sempena dengan panggilan nama Hanis Zalikha, iaitu ‘Keknis’, mendapat sambutan yang menggalakkan meskipun pihaknya tidak menggunakan sebarang promosi untuk memperkenal jenama tersebut.

Selepas dua tahun berada di pasaran, buat julung kali jenama itu diperkenal secara rasmi dan kini sudah mengeluarkan 15 koleksi rekaan selendang.

Terbaharu, ia tampil dengan koleksi pertama rekaan bercetak, iaitu Lily Cake yang dikeluarkan secara terhad kepada peminat jenama tersebut.

Jika sebelum ini dikenali sebagai jenama tudung polos, tetapi kali ini mereka tampil dengan kelainan dengan menawarkan rekaan eksklusif yang dilakar sendiri oleh Hanis Zalikha.

Lily Cake mengambil inspirasi daripada bunga Calla Lily yang menjadi bunga tangan perkahwinan mereka berdua.

Hanis Zalikha sendiri mahu mengabdikan kenangan tersebut pada helaian selendang edisi terhadnya.

Meskipun selendang didatangkan bersama cangkuk, pengguna masih bebas menggayakan fesyen hijab yang disukai malah pelbagai variasi selendang boleh disesuaikan dengan konsep kasual mahupun formal.

Menjanjikan kemasan rapi, pilihan fabrik untuk membuat selendang ini juga amat dipentingkan bagi memastikan pemakainya selesa.

Ditawarkan dalam empat pilihan warna yang menawan iaitu jingga, putih, merah jambu dan kelabu, setiap selendang didatangkan bersama kotak yang direka eksklusif pada harga RM170 sehelai.