Dia membuat kejutan pada penonton dengan menampilkan enam model disolek putih melepak berserta persalinan yang lengkap dengan kostum seperti tudung saji, sarang burung dan tirai rambu. Eja mahu mencipta kelainan pada pentas gah berkenaan dengan gimik yang mewakili interpretasinya terhadap koleksi terbaharu, yang bukan sahaja mengangkat busana Muslimah sebagai fokus, malah memilih warna gelap sebagai warna utama persalinan.

Kira-kira 18 rekaan busana pengantin yang ditampilkan, mempertaruh gabungan warna yang kuat auranya seperti biru gelap dengan sedikit suntikan kilauan bagi menyuntik sentuhan berbeza.

Mengambil inspirasi daripada keberanian dan kecantikan tersembunyi ikan laga (betafish), Eja mengadaptasi suasana haiwan unik berkenaan di dalam rekaannya itu.

Mendapat jolokan The Jewel of the Orient, pemilihan ikan laga sebagai inspirasi amat tepat apabila Eja bijak memilih potongan puteri (princess cut), dengan rekaan kembang serta ditambah kilauan manik hampir pada setiap persalinan.

Penggunaan fabrik sifon yang digabungkan dengan renda serta manik yang diperinci di atas fabrik seperti potongan jubah, dress, cape dan gabungan dress serta seluar, memberi kelainan kepada bakal pengantin yang gemarkan busana berbeza tetapi masih konsep patuh syariah.

Palet warna biru gelap atau navy blue yang diperincikan dengan renda rona kuning champange, menaikkan keanggunan busana berkenaan, yang bukan sahaja sesuai dipakai pada majlis pernikahan, bahkan untuk acara-acara keraian biasa.

Memfokuskan rekaan yang tidak terlalu sukar, Eja mengetengahkan konsep busana longgar agar tidak menampakkan bentuk badan dan sesuai digayakan buat pengantin yang mempunyai tubuh badan lebar mahu pun kurus.

Biarpun potongan ditumpukan kepada busana pengantin, rekaan yang dibuat juga sesuai untuk acara-acara kasual, cuma pemakainya perlu memadankan dengan pilihan tudung atau selendang yang sesuai.

Mengakui lari daripada kebiasaan, jelas Eja, dia enggan memilih warna-warna pastel atau putih kerana pengantin era ini gemar bereksperimen dengan gaya pada majlis perkahwinan.

“Warna putih sering menjadi pilihan, walhal warna-warna seperti biru gelap juga amat cantik jika dijadikan busana perkahwinan kerana ia merupakan warna fokus berbanding warna putih dan pastel. Koleksi kali ini, saya mahu memberikan kelainan buat peminat jenama Eja Shahril pada hari bahagia mereka dengan menampilkan rekaan-rekaan yang lebih mewah dan anggun dalam nuansa yang lebih berani,” katanya.

Koleksi yang dipentaskan itu boleh ditempah di butik dengan harga bermula serendah RM2,700 sehelai, selain turut menerima tempahan-tempahan koleksi lain. - Gambar AMIR KHALID