Kipling X Emoji, koleksi edisi terhad untuk pasaran Asia dengan menampilkan rekaan inovasi beg sandang, beg galas dan beg tangan bermotifkan ikon Emoji yang terkenal di seluruh dunia.

Istimewanya koleksi ini, rekaan dengan warna-warna ceria menawarkan gayanya yang versatil sesuai untuk dipakai dalam pelbagai acara, selari dengan idea Kipling yang komited dalam melaksanakan hasrat menghasilkan beg pelbagai fungsi dan tahan lasak untuk para pelanggan.

Tampak lebih comel dengan ilustrasi Emoji dengan pelbagai emosi, koleksi ini pastinya memikat golongan pencinta fesyen kerana bukan saja ia nampak ceria dan menarik, Kipling masih mengekalkan kualiti pembuatan begnya yang merupakan kekuatan jenama mereka.

Koleksi terbaru ini menampilkan cetakan jalur yang tidak pernah membosankan dalam dunia fesyen. Jalur berwarna biru digabungkan dengan ikon popular Emoji mencetus gaya moden dan ceria.

Kipling X Emoji yang turut menarik perhatian ialah koleksi menggunakan fabrik seperti denim yang memberikan gaya santai dan aktif dalam masa sama. Ekspresi emosi terserlah dari jahitan ikon Emoji pada beg termasuk ikon mata berbentuk hati yang merupakan antara 10 ekspresi Emoji popular yang sering digunakan.

Gelang kunci Kipling berupa pisang bukan sahaja menambah sentuhan funky pada beg tersebut, ia juga sesuai untuk semua usia dan majlis. Kipling X Emoji membuatkan anda bergaya dan dalam masa sama berguna untuk aktiviti harian anda.

KIPLING diinspirasikan dari penulis Rudyard Kipling yang menulis buku kanak-kanak digemari ramai iaitu The Jungle Book bagi menggambarkan semangat jenama tersebut yang ceria dan sukakan cabaran.

Dikenali dengan gelang kunci patung monyet yang juga merupakan maskot mereka, Kipling turut aktif dengan kempen cintakan haiwan. Meneruskan kempen The Kipling Initiative, tahun ini dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Kipling meningkatkan kesedaran memelihara ungka spesies tangan putih (Hylobates Lar) yang diancam kepupusan.

Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) telah menyenaraikan spesies itu sebagai haiwan terancam meskipun dahulunya mudah ditemui di kawasan hutan tropika dan hutan Khatulistiwa di Malaysia serta kawasan hutan sekitar Asia Tenggara.

Menurut Pengarah Eksekutif Ram Pacific Distribution Sdn. Bhd. selaku pengedar rasmi Kipling di Malaysia, Tan Seong Teck, pihaknya teruja dapat bekerjasama dengan Perhilitan untuk mengukuhkan lagi usaha memelihara ungka tangan putih yang semakin berkurangan akibat kegiatan jual beli haram ungka yang dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

“Tahun lalu kami telah bekerjasama dengan Zoo Negara dengan menanggung kos pemeliharaan sepasang ungka spesies tangan putih bernama Dan dan Cutie melalui inisiatif penjualan beg dan tahun ini kempen diteruskan bersama pihak Perhilitan pula.

“Meskipun Kipling adalah sebuah jenama fesyen namun kami mahu mendidik pengguna kami supaya sentiasa memelihara biodiversiti bumi kerana ia selari dengan inisiatif pendidikan yang telah kami terajui selama ini,” katanya dalam majlis perasmian The Kipling Initiative di pusat beli-belah Mid Valley,baru-baru ini.