Mengapa tidak, kedua-dua video tersebut menjadi tular di laman sosial tersebut sehingga mencecah jutaan tontonan.

Kalau sebelum ini, Iffa Najiha Nor Mohamed Zin memulakan kerjaya sebagai model yang memerlukannya memperagakan busana di pentas dan mempromosikan produk menerusi iklan, namun sejak akhir-akhir ini dia begitu aktif terlibat dalam penggambaran video.

Selain dua video tersebut, dia dijangka membuat kemunculan dalam video klip lagu terbaharu Heliza Helmi bertajuk Izinkan yang akan disiarkan tidak lama lagi.

Bercerita mengenai di awal penglibatan sebagai model, Iffa mengakui dia seorang yang agak pemalu terutama ketika berada di hadapan khalayak. Namun, dia berjaya atasinya dengan cara mencabar diri agar tidak menjadikan perasaan malu sebagai penghalang untuk mengetengahkan bakat yang dimiliki.

“Saya akui pada awalnya agak malu. Namun, mengambil pendekatan memotivasikan diri bagi menghilangkan perasaan itu. Memandangkan saya menyukai bidang seni dan kreativiti, justeru, saya jadikan aktiviti membuat video sendiri sebagai cara membina keyakinan.

“Dengan keyakinan yang dipupuk dalam diri membolehkan saya memulakan kerjaya sebagai model sambilan pada usia muda di samping terlibat dalam pelbagai iklan mempromosi produk,” katanya yang tidak menolak sekiranya ditawarkan berlakon drama atau filem.

Tambahnya, untuk berjaya dalam bidang yang digemari, setiap individu perlu mencabar diri untuk keluar dari zon selesa atau kepompong sedia ada.

“Yang penting jangan mudah mengalah dan berputus asa dengan setiap halangan yang dilalui.

“Sebagaimana saya memulakan kerjaya seawal usia 16 tahun, saya harap dapat menjadi contoh dan pendorong kepada remaja lain supaya menjadi seorang individu yang boleh berdikari sendiri dan jangan terlalu selesa dengan zon sedia ada,” katanya.