Selain beroperasi secara jualan maya di www.hijup.com, pembukaan butik Hijup yang terletak di pusat beli-belah The Curve Mutiara Damansara akan membolehkan penggemar fesyen rekaan dari negara itu yang bernaung di bawah platform Hijup merasai sendiri resapan cita rasa berfesyen dari negara jiran itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hijup, Diajeng Lestari, pelancaran butik itu merupakan kesinambungan kepada kejayaan pembukaan butik-butiknya yang terletak di Palembang, Bandung, Padang dan Lombok sebelum ini.

“Hijup sudah terkenal dengan fesyen e-dagang yang mengetengahkan jenama Muslim dari Indonesia. Semestinya, Malaysia tidak banyak beza dari segi pemakaian wanita Muslim.

“Oleh kerana itu, saya yakin keberadaan Hijup di Malaysia akan diterima memandangkan kami sudah ada ramai peminat di sini yang membeli secara online,” katanya pada majlis pelancaran butik Hijup di The Curve Mutiara Damansara baru-baru ini.

Katanya, Hijup begitu teruja melebarkan sayap ke Malaysia, selain dapat memperkenalkan bakat-bakat baharu pereka fesyen dari Indonesia yang meletakkan kesederhanaan berpakaian Muslimah yang sejati.

Menurutnya, Hijup yang dilancarkan pada 2011 di Indonesia menawarkan pelbagai jenis fesyen pakaian menutup aurat yang sedia dipakai.

Katanya, setiap Muslimah mementingkan keselesaan, selain berusaha mematuhi nilai-nilai Islam tanpa meminggirkan penampilan dalam berfesyen.

“Hijup menawarkan pakaian siap dipakai yang kontemporari mahupun moden, selain aksesori, beg tangan, skaf dan tudung yang hadir dalam pelbagai rekaan dan warna yang trendy,” katanya.

Tambah Diajeng, Hijup yang menjadi platform terbesar dan pertama di dunia yang mengetengahkan fesyen Muslimah bakal menambah cawangan butik dan terbang ke London, United Kingdom dalam masa terdekat ini bagi perancangan masa depannya.

“Sejak dilancarkan, kami sering dianggap sebagai penghubung antara pereka fesyen dan peminat dari seluruh dunia,” katanya.

Antara jenama yang bernaung di bawah www.hijup.com termasuklah Allura, Barli Asmara, Dian Pelangi, Hauri Woman, BIA by Zaskia, Mecca, Cottonink dan banyak lagi.