Kata-kata yang dilontarkan oleh Randy Fenoli, selaku Pengarah Fesyen di Kleinfeld Bridal di Manhattan, Amerika Syarikat (AS) ini, membuatkan saya terus mencapai telefon pintar untuk merakam dan mencatat nota.

Sejujurnya ini bukanlah kali pertama saya menonton siri realiti TV, Say Yes To The Dress – Randy Knows Best. Sebagai individu yang sentiasa dahagakan ilmu, saya sangat suka mengikuti, menonton dan mempelajari bagaimana mereka yang pakar dan berjaya dalam industri fesyen ini, memberikan nasihat dan khidmat runding kepada pelanggan.

Ternyata, saya mampu tersenyum dan menarik nafas lega dengan apa yang saya usahakan dan pelajari sehingga ke luar negara selama ini, tidaklah sia-sia.

Artikel berkenaan pilihan pakaian pengantin? Oh tidak. Mungkin saya boleh pertimbang isu seperti ini untuk artikel-artikel yang akan datang.

Memilih untuk meneruskan edisi khas hari raya sepanjang beberapa minggu ini sehingga minggu terakhir Ramadan nanti, saya masih ingin memfokuskan kepada beberapa isu yang boleh membantu pembaca semua menjadi pengguna yang bijak, dengan menyenaraikan strategi merungkai rahsia faktor WOW dan teknik-teknik pengurusan imej yang ringkas.

Saya akui bagi yang pertama kali membaca penulisan saya, mungkin merasakan terlalu banyak langkah yang perlu diikuti.

Sebenarnya, berbalik kepada rancangan realiti TV, Say Yes To The Dress – Randy Knows Best itu tadi, apa yang paling penting ketika memilih sesuatu pakaian (selain mengenal pasti undertone anda) adalah bentuk badan seseorang individu itu sendiri.

Seperti kata hosnya Randy, setiap wanita adalah istimewa – yang saya percaya, punyai kelebihan dan kekurangannya masing-masing. Ada yang hadir dengan cabaran memiliki pinggul yang lebih menonjol dan lebar daripada saiz bahunya, ada pula yang petite.

Bagi yang memiliki bahagian dada yang besar, perut muffin tops – lain pula kerenahnya. Ya, ada juga cabaran dengan pelanggan yang memiliki kaki yang panjang (berbanding dari bahagian atas pinggang) dan memilih untuk menonjolkan asetnya.

Di sebalik kebolehan untuk mengetahui bentuk badan pelanggan yang hadir di kedai pengantinnya, Randy juga harus mahir untuk mengenal pasti personaliti gaya si pelanggan itu tadi. Ternyata semua itu boleh dicapai melalui pilihan jenis fabrik dan rekaan yang dipilih sehingga mereka (pelanggan itu tadi) mengatakan ‘Yes’ kepada pakaian pengantin tersebut.

Apakah harga dan jenama turut memainkan peranan di sini?

Bagi saya, apabila anda sudah mahir dengan jenis rekaan, fabrik yang terbaik untuk bentuk badan anda, harga dan jenama tidak lagi menjadi keutamaan di sini.

Pastikan juga anda mengambil tahu jenis undertone terbaik anda sebagai salah satu elemen utama ketika membeli belah. Tidak saya nafikan adakalanya, barangan yang berkualiti datangnya dengan harga yang agak tinggi dari biasa. Apa lagi jika ia mempunyai jenama yang kukuh dan terkenal di pasaran.

Percayalah, selagi kita mampu dan punyai masa untuk membuat perbandingan antara pengeluar dan pengusaha yang ada, saya pasti anda akan temui sesuatu yang hebat dengan harga yang lebih rendah.

Sudah tentu saya berbicara atas pengalaman saya sendiri, sebagai pengguna, pemerhati fesyen, personal shopper dan atas kapasiti seorang perunding imej.

Baiklah, sambil-sambil kita melayan artikel ini, apa kata kita pastikan dahulu jenis bentuk badan anda?

1Bentuk Hourglass – ini merupakan bentuk paling ideal kerana mengagihkan berat sama rata antara bahagian atas dengan bawah tubuh badan seseorang. Saiz bahu dan pinggul adalah sama dengan pinggang yang lebih kecil dan ramping, mempunyai perbezaan ukuran sehingga 10 inci!

2 Bentuk Ruler – Ibarat namanya, mereka yang berbentuk ruler tidak mempunyai bentuk pinggang ramping yang ketara seperti si hourglass. Kebanyakan waktu ukuran bahu dan pinggul adalah sama.

3 Bentuk Pear – paling mudah untuk dikesan, badan yang berbentuk pear memiliki visual pinggul yang lebih lebar dari saiz bahunya.

4 Bentuk Epal – Saiz pinggang yang lebih lebar dari dada dan pinggul. Menurut kajian yang dijalankan , majoriti mengatakan mereka mudah ‘naik badan’ pada bahagian perut berbanding pinggul. Inilah yang membezakan si epal dan si pear apabila mencari pakaian yang sesuai.

5 Bentuk Inverted Triangle atau Segi Tiga Terbalik – Saiz bahu yang lebih lebar dari saiz pinggulnya. Mereka yang gemar bersukan seperti renang (dari sejak kecil) boleh membentuk siluet badan sebegini apabila dewasa.

Sempena artikel Edisi Raya kali ini saya akan mengfokuskan kepada pakaian tradisional kita, iaitu jenis-jenis baju kurung. Selaras dengan peredaran zaman, kini pelbagai busana rekaan moden telah muncul dan diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Walaupun rekaan baju kurung sekarang lebih kontemporari, dengan pelbagai hiasan seperti manik, labuci, kerawang dan material baju yang bukan lagi menggunakan kain kapas, tetapi yang penting, masih mengekalkan ciri-ciri keasliannya.

1.Baju kurung Teluk Belanga atau Cekak Musang – Baju kurung merupakan salah satu pakaian tradisional popular, dikatakan sangat versatil, evergreen dan sering menjadi pilihan wanita hari ini kerana selain hari raya, boleh digayakan pada majlis-majlis rasmi dan keramaian seperti perkahwinan.

Sebenarnya walaupun baju kurung ini dianggap baju yang paling senang untuk digayakan tidak kira bentuk badan, yang paling penting adalah fabrik atau jenis materialnya, selain corak dan hiasan yang ada pada baju tersebut.

Antara strategi utama ketika mengambil kira corak, hiasan dan jenis fabrik ini adalah dengan memastikan di manakah kekuatan (aset) dan kekurangan bentuk badan anda.

Contohnya, jika badan berbentuk pear, maka kekurangan anda pada pinggul, dan aset anda pula pada bahagian atas badan. Manakala si epal pula, asetnya pula akan bertumpu pada bahagian pinggul ke bawah, dada dan perut merupakan kekurangan yang perlu ditutup.

Kurangkan pemilihan dan penggunaan corak, hiasan dan jenis material yang boleh membuatkan bahagian badan yang ingin ‘ditutup’ itu tadi nampak menyerlah. Sebaliknya, biarkan dengan warna-warna polos, gelap, dan sekiranya bercorak pastikan ia sesuai dengan saiz badan anda (kecil, sederhana, besar).

2.Baju kurung Kedah – Dipercayai berasal dari selatan Thai, baju yang menyerupai blaus pendek, longgar dan singkat ke paras punggung, dan digayakan dengan kain seakan kain sarung. Disebabkan rekaan bajunya yang sebegini, maka saya sarankan kepada mereka yang berbentuk pear agar tidak memilih rekaan kurung Kedah kerana menonjolkan lagi bahagian pinggul anda bukan menyembunyikan.

3.Baju kurung Pahang – Rekaan sebegini sangat cantik dipakai untuk wanita hourglass juga berbentuk ruler kerana menonjolkan lagi bahagian aset (pinggang) yang ramping. Tidak salah wanita pear ingin memilih kurung Pahang ini tetapi biarlah bahagian atas bajunya diserikan dengan sedikit hiasan atau aksesori yang lebih menonjol agar mata yang melihat tidak tertumpu kepada bahagian pinggul yang besar itu tadi.

Mereka yang mempunyai bahu yang lebar (inverted triangle) juga akan kelihatan lebih cantik dengan rekaan kurung Pahang ini, tetapi pastikan juga agar bahagian bahunya tidak dilengkapi dengan sebarang padding.

4.Baju kurung peplum – Satu sahaja pesan saya buat anda, jangan terpedaya dengan rekaan seperti kurung peplum ini, yang anda anggap dan yakin bahawa jahitan pleated boleh menyembunyikan perut anda yang besar. Kurung peplum ini juga sangat sesuai buat si hourglass dan ruler kerana rekaannya lebih tertumpu kepada bahagian pinggang dan jahitan pleated itu sendiri bertujuan untuk menampakkan visual badan yang lebih berisi dan seimbang.