Kembali memeriahkan pentas fesyen buat tahun ke tujuh berturut-turut, majlis pelancaran menampilkan himpunan daripada jenama seperti Debenhams, Kenzo, McQ Alexander McQueen, M Missoni, Valentino, iKarrtini dan Mita Tam Style Studio.

Kali ini, SGFW mengangkat seleksi pakaian yang merentas benua dan zaman apabila menggabungkan penampilan busana bercirikan tradisi tempatan, ilham dari Eropah, flora dan fauna, retro dan futuristik.

Lebih menarik lagi, SGFW turut menampilkan persembahan fesyen pereka terkenal Australia, Alvin Fernandez bawah label ae’lkemi, yang memberi tumpuan kepada penghasilan busana tekstil organik untuk mewakili simbol kewanitaan.

Menggunakan fabrik mewah dan tekstur yang pelbagai, ketelitian Alvin meletakkan gabungan mutiara, kristal Swarovski dan renda Perancis dengan memfokuskan kepada bentuk tubuh wanita berjaya mencuri tumpuan peminat fesyen.

Bagi jenama Kenzo, setiap busana lelaki dan wanita yang dihasilkan untuk koleksi musim ini mengangkat tema ekspresi kebebasan untuk membangkitkan personaliti ceria individu.

Didominasi dengan palet warna ceria dan terang serta monokrom, jaket ponchos, parkas, blaus dan dres direka dengan elemen kesukanan untuk membawa karakter individu.

Sementara itu, Valentino tidak pernah gagal menampilkan himpunan fesyen yang bergaya dan kali ini inspirasi daripada lukisan pada zaman Renaissance diadun sebagai cetakan untuk menyerlahkan elemen sofistikated.

Memartabatkan fabrik batik dalam persada fesyen Malaysia, iKarrtini berjaya menggabungkan gaya tradisi dan kontemporari, manakala Mita Tam Style Studio pula memperkenal barisan pakaian santai dengan sentuhan feminin dan romantis.

Dalam pada itu, McQ Alexander McQueen menjadikan rekaannya sebagai interpretasi 70-an dengan mengadaptasi elemen budaya pop daripada ikon David Bowie, Iggy Pop dan Lydia Lunch.

Pentas fesyen turut dimeriahkan dengan rekaan konvensional British melalui persembahan fesyen Debenhams, manakala M Missoni berjaya menonjolkan kreativiti dengan tema Glitter Glam melalui warna-warna terang. - Gambar FARID JANUDIN