Membawa falsafah dengan merungkai persoalan “mengapa kita berpakaian? (Why do you get dress?)”, jenama itu sekali lagi memilih konsep rekaan yang ringkas dengan kualiti fabrik dan fungsi rekaan yang berguna berbanding konsep terlalu menonjol dan terikut-ikut peredaran fesyen.

Menurut Pengurus Perhubungan Awam Uniqlo Malaysia, Keith Jared Mejin, tidak seperti jenama yang mengeluarkan koleksi dengan cepat mengikut permintaan pasaran, Uniqlo mencipta identiti sendiri iaitu menghasilkan pakaian yang menghormati setiap pemakai.

“Setiap koleksi kami mungkin kelihatan biasa sahaja atau adakala menghimpunkan koleksi yang bergaya, tetapi apa yang penting adalah kami mencipta produk yang berteknologi, berkualiti dan menepati kehendak pelanggan kerana sangat menitikberatkan fabrik.

“Konsep Lifewear yang diketengahkan oleh jenama ini mementingkan keinginan pelanggan yang mempunyai gaya tersendiri tanpa perlu memikirkan tentang orang lain dalam menggayakan sesuatu,” katanya.

Menawarkan barisan lengkap rekaan merangkumi pakaian harian, kasual dan sporty bawah koleksi Denim, Uniqlo Sport, Airism, Lifewear Wardrobe, Uniqlo U, Magic For All, UT dan SPRZ NY, serta koleksi kolaborasi bersama Ines De La Fressange dan Hana Tajima.

Tahun 2017 masih mengekalkan rekaan kontemporari sedia pakai yang selesa dengan sedikit pembaharuan. Ia mampu melengkapi keinginan peminat jenama berkenaan dengan mengetengahkan potongan dan warna yang memenuhi cita rasa golongan urban.

Warna-warna seperti hitam, kelabu, beige, nude, pastel, hijau lumut dan biru navy masih lagi menjadi taruhan selain elemen penggunaan fabrik pakaian teknologi tinggi musim sejuk Jepun, iaitu Heattech.

Uniqlo U

Diketuai pereka Christophe Lemaire, koleksi ini dicipta dengan integrasi fungsi dan reka bentuk yang tidak keterlaluan kerana menyifatkan pendekatan trend biasa adalah lebih menyerlah merangkumi jaket berhud, blaus, dres paras lutut dan kemeja-T.

Magic for All

Kolaborasi global yang menggabungkan koleksi fantasi, magis dan pengembaraan dengan Disneys, Marvel, Star Wars dan Pixar membawa peminat dunia kartun menyelami karakter melalui pakaian seharian dengan koleksi baharu bermotif seperti Mickey Mouse, Cars 3 dan Spider-Man.

UT

Pengarah Kreatif UT, Nigo memberi rupa baharu kemeja-T dengan menambahkan elemen abstrak merangkumi budaya, mood dan ikon mewakili seluruh negara di dunia dengan harapan ia membawa maksud bukan sekadar corak.

SPRZ NY

Koleksi hasil inspirasi seni jenama ini tidak terhad pada kemeja-T, ia merangkumi beg, topi dan payung termasuk kolaborasi bersama Muzium Kesenian Moden serta rekaan bercorak geometri dan bercetak diinspirasikan Andy Warhol, Keith Haring dan Jean Michael Basquiat.

Ines De La Fressange

Diilhamkan daripada pemandangan di Marseilles, Perancis, koleksi ini diberi sentuhan chic dan klasik dengan padanan corak berkotak, berbintik serta motif floral halus serta menggabungkan tona bumi seperti hitam, coklat, kelabu, krim, biru gelap serta putih.

Hana Tajima for Uniqlo

Mempersembah helaian segar, sopan dan longgar buat wanita yang mementingkan rekaan yang kesederhanaan serta selesa digayakan untuk pelbagai acara termasuk bersantai mahupun ke pakaian pejabat apabila pereka berdarah kacukan Jepun itu memilih menggunakan fabrik selesa serta potongan feminin.