Cubaannya menterjemahkan rekaan di pentas peragaan berprestij, menjadi buah tangan dan fokus jenama yang bertapak sejak setahun lalu itu.

Memilih gaya terkini daripada jenama-jenama popular antarabangsa, wanita itu bijak mengadaptasi potongan-potongan moden di pentas peragaan kepada fesyen harian, yang diubah suai mengikut kesesuaian masyarakat negara ini.

Selain potongan yang mengikut trend, pilihan fabrik juga menjadi antara elemen penting dalam penghasilan rekaan Larney, dengan memilih fabrik sutera kapas kerana sesuai dengan cuaca panas dan lembap.

Fabrik tersebut juga tahan lasak dan tidak mudah berkedut.

Memfokuskan pada statement sleeve (rekaan pada lengan yang menjadi trend masa kini), Larney tampil memberi kelainan pada koleksi De Moda Wrap, dengan menghasilkan rekaan blaus yang memberi tumpuan pada bahagian hujung lengan.

Menyuntik gaya klasik moden, dimensi rekaan seumpama gelembung berlapis itu tampak anggun, ditambah dengan tali lebarpada bahagian pinggan yang memberi kesan ramping serta sesuai digayakan dengan semua saiz badan.

Didatangkan dengan lebih 22 pilihan warna, untuk koleksi terbaharu ini, Zura menampilkan empat warna baharu, iaitu biru violet, mustard, taupe dan kelabu gelap, selain warna-warna bumi seperti hitam, putih dan coklat.

Bagi yang ingin menggayakan rekaan ala De Moda Wrap tetapi mahu tampak lebih sopan dan feminin, koleksi De Moda Cardigan menepati gaya tersebut apabila direka mempunyai labuh melepasi pinggul.

Masih mengekalkan potongan statement sleeve, koleksi itu mempunyai dua belahan, bahagian kiri dan kanan yang memudahkan pergerakan, selain tali pada bahagian pinggan boleh diikat sama ada di depan atau belakang.

“Rekaan seperti ini menjadi trend di pentas fesyen antarabangsa. Kebanyakan pereka menggunakan fabrik yang jarang seperti chiffon dan renda, namun saya memilih fabrik yang sesuai untuk digayakan oleh wanita di negara ini yang gemarkan gaya sopan dan menutup bahagian tertentu.

“Pun begitu, koleksi Larney juga sesuai digayakan buat mereka yang tidak bertudung dan inginkan gaya moden,” katanya.

Selain blaus, jenama itu turut mengeluarkan koleksi skirt Kiesha yang menggunakan fabrik neoprene boleh regang dengan motif jalur, selain potongan bentuk pensel dan mempunyai potongan ropol di bahagian hujung kain.

Bagi mereka yang gemar memakai seluar, Larney turut menampilkan koleksi Tehan Pant, seluar yang diberi potongan sedikit sempit dan tidak simetri di bahagian bawah serta sedikit kembang.

Kesemua koleksi baharu Larney boleh didapati di portal beli-belah dan butik di Fashion Valet bermula Rabu ini dan juga boleh dibeli di butik Modvier dengan harga bermula RM139 hingga RM179.