Pakaian ketika bersantai juga harus tampak cantik kerana gaya-gaya itu akan dimuat naik ke laman-laman sosial sebagai kenangan.

Bosan dengan koleksi yang sama ketika bercuti, portal fesyen e-dagang terkemuka Asia Tenggara, Fashionvalet melancarkan koleksi kolaborasi eksklusif bersama Miss Universe Malaysia 2007, Deborah Henry iaitu Deborah Henry X FashionValet: Laidback Luxe.

Merangkumi koleksi bersifat santai, sofistikated dan selesa, Deborah Henry X FashionValet: Laidback Luxe diinspirasi daripada gaya ratu cantik itu yang gemar rekaan ringkas, namun anggun dan feminin.

Berteraskan versatiliti, koleksi yang menampilkan 13 rekaan bersama kemasan ropol, didatangkan dengan rekaan off-shoulder, camisole, kemeja, dres, slip dress, palazo dan seluar biasa.

Memilih rona-rona pastel sebagai rona utama pada fabrik seperti biru asap, merah jambu lembut, hijau pudina dan jingga, Deborah bijak mengenakan sentuhan ropol di hujung lengan dan dada menjadikan rekaan koleksi ini sangat elegan.

Rona-rona asas seperti putih, biru gelap dan hitam menambah sentuhan eksklusif bagi rekaan kasual dan memilih fabrik satin, shantung dan kapas campuran.

Menurut Deborah, koleksi berkenaan merupakan terjemahan gaya anggun dan santai yang merupakan antara rekaan yang digemari ketika bercuti.

“Saya cuba bawa gaya ke dalam koleksi ini dengan menonjolkan cara saya berpakaian ketika bercuti,

“Versatil adalah teras koleksi ini, sebab itu rekaannya ringkas dan boleh disuai padan untuk tampak gaya berbeza ketika bercuti tanpa membazir ruang di dalam bagasi,” jelasnya.

Koleksi Deborah Henry X FashionValet: Laidback Luxe didatangkan dalam saiz antara UK6 sehingga UK16 dengan harga antara RM119 hingga RM299 dan boleh didapati di butik FashionValet Pavilion, FashionValet Bangsar Village 2 serta di Singapura selain boleh melayari di portal beli-belah www.fashionvalet.com. - Gambar ABDUL NAZIR MOHAMED