Perkembangan positif ini bukan sahaja merancakkan dunia fesyen tempatan malah memberi pilihan kepada penggemar fesyen untuk lebih bergaya mengikut keinginan dan cita rasa masing-masing.

Berusaha memberi kepelbagaian kepada pengikut-pengikut fesyen tanah air, pemilik jenama Qhaleesaa, Khalysa Mohd. Sham Siang, 27, tampil dengan sentuhan segar buat peminat gaun.

Mengetengahkan koleksi kontemporari dengan pilihan warna sesuai untuk pelbagai lapisan usia, Khalysa tidak ketinggalan memastikan rekaannya seiring fesyen sekarang.

Menurut Khalysa, koleksi moden untuk semua jenis potongan badan itu sesuai digayakan sama ada ke majlis formal, tempat kerja, atau acara santai.

Malah katanya, rekaannya juga boleh digayakan untuk majlis pertunangan dan hari pernikahan dengan bersandarkan warna polos berbanding material bercorak.

“Kami menampilkan pilihan warna dari rona terang tetapi pada masa sama turut menyediakan pilihan warna pastel yang pasti lebih menarik.

“Qhaleesaa cuba mengekalkan potongan unik dalam setiap rekaan, selain signatur kami iaitu lipatan pada bahagian dada dan bahu juga perincian renda dan bunga manik pada bahagian tangan, perut, dan dada. Kami tidak mengetepikan prinsip asas iaitu minimal, praktikal dan selesa bagi seleksi sedia pakai.

“Walaupun rekaan kali ini lebih menjurus ke arah rekaan gaun, terdapat juga pilihan baju kurung kain kapas dan baju pasang seperti blaus dan seluar,” ujarnya ketika ditemui di butik yang terletak di 05-09-03A, Jalan Medan Pusat Bandar 8A, Bangi Sentral, Selangor baru-baru ini.

Menurut Khalysa, kebanyakan koleksinya menggunakan material kapas linen dan premium krep kerana selain sesuai dengan cuaca di Malaysia, ia juga tidak jarang dan tidak melekap pada badan. Kapas linen merupakan material lembut berkualiti tinggi, tahan lasak dan selesa, manakala premium krep ringan dan tidak mudah renyuk.

Cukup mementingkan hasil seni berkualiti dalam setiap rekaan, Khalysa memberitahu, gaun yang ditampilkan memberi fokus terhadap elemen perincian, sekali gus menjadikan setiap helaian tampak eksklusif.

Semua koleksi ini boleh didapati pada harga bermula RM89 hingga RM200 dan setiap rekaan didatangkan dalam saiz XS hingga XXL.