Pilihan fesyen seperti skirt, blaus, palazo atau potongan tradisional seperti baju kurung dan kebaya memberi kelebihan kepada mereka untuk tampil dengan gaya yang diinginkan.

Mahu lari daripada kebiasaan, pemilik jenama One-Ra by Dynas, Dynas Mokhtar memilih fabrik sari dan sutera Thai, sebagai signatur jenama itu pada koleksi terbaharunya.

Sifat fabrik sari yang menyerlah dan berwarna-warni menjadi antara faktor utama pemilihan fabrik berkenaan dalam koleksi diberi nama One-Ra, bagi menghasilkan koleksi yang malar segar.

Mempertaruh konsep sopan, ujar Dynas, dua potongan yang difokuskan iaitu kurung Pahang dan kebaya peplum, merupakan idea bersama ibunya yang sangat gemarkan potongan tradisional dan klasik.

Bagi koleksi kebaya peplum, Dynas memilih warna-warna terang seperti kuning, oren, merah dan hijau dengan perincian sulaman tampalan berkilau emas atau perak bermotifkan flora dan abstrak.

Menawarkan saiz bermula XS hingga XL, keistimewaan koleksi itu apabila Dynas bermain dengan tona warna yang terang dan lembut pada baju dan kain bagi menyerlahkan gaya selain perincian di bahagian tengah hadapan baju.

“Koleksi busana ini juga sesuai digayakan oleh ibu yang menyusu kerana di bahagian depannya mempunyai zip yang berfungsi bagi memudahkan penyusuan, selain keselesaan di bahagian potongan peplum yang untuk mereka yang mempunyai bahagian-bahagian tertentu yang besar untuk ‘disembunyikan’,” katanya.

Bagi koleksi kurung Pahang pula, fabrik sari yang digunakan lebih sederhana, namun masih membawa elemen fabrik itu yang mempunyai perincian sulam dengan benang emas dan perak sama ada di hujung kain atau hujung tangan.

Mengekalkan busana tradisional, koleksi kurung Pahang itu didatangkan dengan pilihan warna pastel seperti ungu, pic dan merah jambu serta dua pilihan, iaitu fabrik kosong dan sulam tabur.

Istimewanya, kedua-dua rekaan itu dilapisi kain lapik yang lembut di bahagian dalam agar tidak jarang.

Selain busana kurung, turut ditampilkan palazo yang menggunakan fabrik sama untuk gaya lebih anggun dan glamor dengan sari berkilau dan corak berjalur kecil.

Ujar Dynas, koleksi One-Ra sebelum ini direka bersempena penyertaan jenama itu pada penganjuran London Modest Fashion Week pada Februari lalu, dengan tumpuan pada pakaian kasual seperti skirt, palazo, jaket pendek dan jaket labuh.

“Koleksi kasual kerana menyasarkan pelanggan di sana dan bagi meraikan wanita di negara ini, kami memperkenal koleksi baharu menggunakan fabrik sari yang menggabungkan potongan moden dan tradisional.

“Semua koleksi ini boleh didapati di laman beli-belah dalam talian shopee.com.my dengan harga yang sangat berbaloi,” katanya.