Bukan sahaja melindungi mata daripada pancaran sinar matahari, aksesori ini mencantikkan penampilan anda. Bagi peminat cermin mata hitam, gaya ini sebenarnya sesuai dengan iklim tropika negara yang dapat memelihara mata daripada sinaran ultraviolet (UV) dan infra merah (IR).

Jika diperhatikan, trend cermin mata hitam kini berbentuk lebih besar dan tidak terikat dengan bentuk bulat. Fesyen ala tahun sekitar 1950-an hingga 1980-an antara gaya yang kembali semula.

Unik

Bagi peminat jenama popular dari Jepun, Evisu, anda pasti tertarik dengan bentuk cermin mata yang pelbagai saiz dan warna. Sesuai dengan peminat jenama ini yang terdiri daripada golongan muda, koleksi ini tampil dengan imej yang unik dan tenang.

Dengan tema ‘before anyone did anything, Evisu did everything’ yang membawa maksud Evisu telah melakukan semua sebelum yang lain melakukannya, jenama ini melakukan kelainan dengan meletakkan logo tiga dimensi (3D) pada setiap cermin mata.

Dalam pada itu, Evisu yang popular dengan koleksi jeans diilhamkan pada 1991 oleh Hidehiko Yamane tetapi masih popular hingga ke hari ini dengan pelbagai inovasi rekaan baharu. Dengan adanya koleksi cermin mata Evisu, maka lengkaplah gaya kasual anda.