Mencabar diri dengan konsep yang lebih santai walaupun ringkas, pengasas Dache, Yadz Haryati Harudin dan Julia Ibrahim merasakan Malaysia kaya dengan pelbagai budaya etnik yang masih tidak ditonjolkan.

Bertemakan Colours of Rangoli, koleksi 2018 diinspirasikan daripada seni lukisan kolam India dan dalam masa yang sama menghasilkan rekaan moden dengan penggunaan fabrik berkualiti.

“Idea ini datang daripada pengalaman saya sebagai pereka hiasan dalaman. Sepanjang bekerja, saya menyaksikan negara kita sebenarnya kaya dengan pelbagai budaya memandangkan kita hidup dalam pelbagai kaum.

“Tidak mahu membataskan idea dengan merujuk satu kaum sahaja, kami cuba memberi kepelbagaian pada rekaan.

“Dache dikenali sebagai jenama yang sering menggunakan elemen warna-warni. Rekaan seperti itu lebih eksklusif dan sukar ditiru. Lebih penting, rekaan tersebut sesuai digayakan oleh mereka yang mahu nampak lebih yakin dan berani,” jelas Yadz Haryati.

Walaupun jenama ini baru bertapak selama tiga tahun dalam industri fesyen, Dache sudah mengorak langkah ke peringkat fesyen antarabangsa.

Pada tahun lalu, jenama ini diperagakan di pentas fesyen popular dunia, International Fashion Week Dubai (IFWD) dan pada tahun ini, Dache bakal diperagakan di London.

Mengulas tentang pemilihan warna, Julie memberitahu, pemilihan warna juga dititikberatkan kerana tidak mahu dilihat terlalu klasik dan tradisional kerana sukar memenuhi cita rasa orang muda.

Warna-warna menarik ditonjolkan seperti ungu, merah, oren krim, biru, dan hitam supaya tampak moden dan sesuai digayakan santai. Bermula dengan pemilihan fabrik, mereka corak dengan mencanting, mewarna sehinggalah kepada jahitan, semuanya dilakukan sendiri oleh Julie.