Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Estetika seni ilustrasi fesyen

sebahagian ilustrasi fesyen rekaan Muhammad Fikri Afif Mohamed 4
sebahagian ilustrasi fesyen rekaan Muhammad Fikri Afif Mohamed Daud.

Meninggalkan dunia seni bina semata-mata untuk bergelar pelukis ilustrasi fesyen, mungkin dianggap satu kerugian bagi sesetengah individu, namun tidak bagi Muhammad Fikri Afif Mohamed Daud, 23, yang beranggapan, inilah masanya dia mengorak langkah menggapai cita-cita yang pernah diimpikan.

Kerja seninya mula mendapat liputan apabila ditawarkan untuk membuat live drawing figura tetamu yang hadir dalam majlis ulang tahun Reverso ke-85 oleh jenama jam tangan terkemuka dunia, Jaeger-LeCoultre, kira-kira setahun lalu.

Walaupun tidak melakukannya sepenuh masa, namun tawaran tersebut tidak dipandang ringan.

Berasaskan kesungguhan dan bakat semula jadi yang dimiliki, meskipun tidak mendapat pendidikan khusus dalam bidang itu, bakatnya mula disedari individu-individu dalam bidang fesyen mengenai kepakarannya mengilustrasi fesyen.

“Sejak kecil, saya bercita-cita untuk bergelar pereka fesyen tetapi apabila meningkat remaja saya mula memikirkan tentang masa depan.

“Saya pernah berfikir kerjaya dalam industri fesyen tidak memberi jaminan masa depan, jadi saya mencari bidang yang boleh menterjemah hasil seni saya.

“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian dalam bidang seni bina.

“Ketika bergelar penuntut, saya masih tidak dapat lari daripada meminati fesyen. Saya kembali melukis lakaran rekaan fesyen untuk rakan-rakan yang meminta tolong merekakan pakaian mereka.

“Selain itu, saya juga aktif menghasilkan karya potret fesyen untuk dijual dan pernah ditawarkan untuk menyertai pameran seni lukis di Pasar Seni.

“Sejak itu, saya melihat ada jaminan masa depan dalam bidang ini jika saya melakukannya secara serius apabila tamat belajar nanti,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Muhammad Fikri Afif, meskipun boleh melukis dalam pelbagai teknik, namun dia mahu memastikan karyanya tidak lari daripada dunia fesyen.

Disebabkan tidak mempunyai kemahiran menjahit untuk meneruskan cita-cita sebagai pereka fesyen, dia mahu kemahirannya itu mampu membawanya pergi lebih jauh, memandangkan fesyen juga memerlukan mereka yang tahu tentang teknik melukis dan lakaran rekaan.

Ujarnya, mungkin dahulu kerjaya sebagai pelukis ilustrasi fesyen tidak berkembang luas memandangkan ramai pereka fesyen profesional tahu melukis, namun pada masa kini, dengan adanya kemunculan ‘pereka-pereka fesyen segera’ menyebabkan khidmatnya diperlukan.

“Ada pereka fesyen mempunyai idea tetapi tidak tahu bagaimana untuk menterjemahkan dalam bentuk lukisan. Lakaran ilustrasi penting dalam proses rekaan busana kerana daripada lakaran itu, pelanggan dapat melihat hasilnya nanti.

“Dari situ, saya melihat peluang yang boleh membantu pereka-pereka fesyen ini,” katanya yang pernah bekerjasama dengan jenama seperti FashionValet, Glam Lelaki, Harpers Bazaar Malaysia, Gucci dan Elle Malaysia.

Bagi memastikan lakaran figura fesyennya tidak kelihatan seperti lukisan kartun, dia akan menggunakan postur badan dan riak muka model antarabangsa yang fotogenik sebagai rujukan untuk digabungkan dengan busana fesyen bagi menghasilkan karya yang sempurna.

Antara teknik yang digunakan dalam ilustrasi fesyen adalah anatomi yang menggambarkan figura badan walaupun sekadar bayangan, tekstur dan jenis fabrik, trend terkini fesyen dan gaya signaturnya.

Ujar Muhammad Fikri Afif, dia akan menggunakan medium seperti pensel, warna poster, warna air, cat emas, dan pen berkilau (glitter) yang dilukis di atas kertas hitam untuk menonjolkan lakaran ilustrasi fesyennya.

Mengakui kerjaya sebagai pelukis ilustrasi fesyen tidak popular di sini berbanding di negara luar, dia menjadikan beberapa nama besar seperti David Downtown, Meghan Hess dan Katie Rodgers sebagai idola malah amat mengagumi karya-karya mereka yang kontemporari dan elegan menjadikan setiap ilustrasi fesyen digambarkan sebagai sebuah karya yang klasik.

Portfolio seninya boleh dilihat di Instagram @fikriafif. - Gambar NOOR AZLINA JAAFAR 


Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan