Melalui evolusi, selain keberanian, pakaian atau kostum yang digayakan seseorang matador turut menjadi elemen yang digemari pereka fesyen dalam memberi suntikan ilham kepada koleksi rekaan mereka.

Misalnya, penggunaan seluar potongan slim dengan jaket balero.

Sama ada memilih warna hijau, kuning, merah, biru dan ungu, setiap sut lengkap seorang matador ‘wajib’ dipadankan dengan kemasan sulam emas penuh.

Hanya kain capote, iaitu sejenis kain besar sebagai aksesori buat matador beraksi, dibiarkan kosong.

Bagi menyuntik nilai budaya dalam fesyen, pereka terkenal, Qudyn Aziz tampil dengan koleksi terbaharu yang berinspirasikan kostum matador yang mengangkat seni sulam.

Menurut Qudyn, bagi memberi kelainan buat pertama kali dalam menghasilkan baju sedia pakai (ready to wear atau RTW), dia membawa elemen sulam pada pakaian yang disarung matador sanditerjemahkan dalam bentuk lebih kasual, moden serta segar.

Jelasnya, elemen sulaman merupakan signature jenama Qudyn, jadi bagi mengekalkannya dia memilih untuk mengolah elemen berkenaan agar identiti tersebut masih menyerlah.

“Ini baju sedia pakai pertama dari jenama ini dan elemen matador merupakan elemen yang tepat untuk menggambarkan jenama ini. Begitu pun, bagi membolehkan rekaan ini sesuai dipakai, saya menghasilkan sesuatu yang mudah dan ringkas.

“Dari segi warna pula, saya memilih warna terang yang tidak keterlaluan seperti kuning, hitam, putih serta hijau dan digabungkan dengan sulaman emas bagi mengekalkan imej matador,” katanya, yang memilih sulaman bermotifkan seperti bunga padi.

Tambahnya, sebanyak 16 potongan untuk koleksi RTW, antaranya seluar potongan slim, skirt berlapis, blaus potongan longgar, jumpsuit serta jaket yang boleh disuai padan untuk gaya lebih berani.

Tidak mahu terlalu sarat, Qudyn memilih memberi penekanan perincian sulam di bahagian tertentu seperti bahu, pinggul dan kaki seluar selain memilih fabrik baldu bagi memberi kesan lembut serta berkilau.

“Rekaan yang disuntik elemen matador ini membawa mesej keberanian dan penuh dramatik dan saya berharap akan menjadi trend fesyen buat mereka yang mahu bergaya unik,” jelasnya. Dia juga bakal mengeluarkan koleksi kemeja-T tidak lama lagi. - Gambar SHAIFUDDIN 
MOHD NOR