Menurutnya, gaya telekung yang menarik dan bercorak bunga mula mendapat sambutan terutama gadis dan wanita di bawah umur 40 tahun sejak Mei tahun lalu. Hazurina berkata, pihaknya menampilkan telekung bercorak, berwarna lembut dan berbunga untuk kegunaan solat.

Hazurina berkata, pada peringkat awal, ada pihak mengkritik kerana menjual telekung bercorak, seolah-olah memperagakan fesyen terbaharu.

“Ada pelanggan memberitahu, telekung berwarna putih merupakan pakaian ibadah rasmi untuk solat. Namun, tidak salah jika saya menjual telekung bercorak untuk kegunaan wanita yang gemarkan gaya eksklusif.

“Walau bagaimanapun, telekung bercorak keluaran saya patuh syariah dan tidak jarang serta sesuai digunakan untuk solat di masjid atau rumah,” katanya ketika ditemui S2.

Katanya, kini, telekung bukan lagi sinonim dengan warna putih sahaja, malah banyak yang dihasilkan menggunakan pelbagai jenis fabrik, warna dan corak.

Dia yang mengambil nama Salsabeel sempena nama anak buahnya,Ressa Salsabeel menganggap modal awal sebanyak RM5,000 untuk memulakan perniagaan itu berbaloi.

“Saya mengeluarkan duit simpanan sebanyak RM5,000 untuk 150 helai telekung yang direka dan ditempah khas dari Indonesia.

“Kain telekung yang menggunakan kain kapas dan jenis rayon pula dibeli dari Korea untuk memastikan kualiti kain terbaik untuk dijadikan telekung,” katanya yang melihat perniagaan tersebut mula mendapat sambutan ramai.

Jelasnya, dia menggunakan pengiklanan melalui laman sosial Facebook untuk mempromosikan telekung Salsabeel kepada pengguna alam maya.

“Saya hanya mampu membayar yuran paling rendah untuk tujuan pengiklanan melalui Facebook iaitu sebanyak RM20 sehari bagi menarik pelanggan terutamanya wanita.

“Sehingga kini, kami sudah dapat 3,000 like daripada pelanggan seluruh negara melalui page Telekung Salsabeel,” katanya.

Ragam pelanggan sudah semestinya menjadi cabaran kepada Hazurina kerana ada antara mereka mahukan corak telekung sendiri.

“Saya maklumkan kepada pelanggan bahawa corak tersebut ambil masa untuk disiapkan kerana fabrik berkenaan ditempah khas dari negara seberang. Kebanyakan mereka tidak kisah untuk menunggu,” katanya.

Sejak Mei 2016, dia telah mengeluarkan kos sebanyak RM20,000 untuk menghasilkan 500 helai telekung.

Dia berhasrat mengembangkan lagi perniagaannya secara dalam talian dengan menyasarkan sebanyak 600 helai dijual dalam setahun dan tidak berhasrat untuk membuka butik dalam masa terdekat.

“Saya masih belum berpeluang untuk menyertai mana-mana bazar kerana kekangan masa. Jadi, saya ambil peluang berniaga secara dalam talian dan berinteraksi bersama pelanggan melalui laman sosial Facebook,” katanya.

 

Info

> Mempunyai saiz S hingga XL

> Berharga RM99 - RM109

> Bercorak lembut dan bunga

> Sesuai dijadikan hantaran

> Tidak jarang dan selesa