Deborah yang dilahirkan di Dublin, Ireland ternyata bukan seorang yang bersandar pada paras rupa semata-mata, sebaliknya mempunyai kebijaksanaan serta keprihatinan yang tinggi terhadap komuniti sejagat.

Itu terbukti menerusi inisiatif Fugee School yang dimulakan sejak sembilan tahun lalu. Deborah berkongsi lebih mendalam tentang usahanya itu kepada penulis dalam satu pertemuan sempena Majlis Ulang Tahun Ke-10 Robinsons di ibu kota baru-baru ini.

“Segalanya bermula setelah saya bertemu dengan pelarian yang ditempatkan di Malaysia pada 2008. Saya tersentuh hati melihat kanak-kanak tidak mampu ke sekolah awam, manakala golongan dewasa tidak boleh bekerja.

“Tiada lebih penting selain pendidikan dan kerana itu, saya mulakan sebuah sekolah untuk kanak-kanak pelarian. Sehingga kini, sekolah itu berjaya mendidik kira-kira 350 pelajar,” katanya kepada S2.

Kata Deborah, dia gembira apabila matlamat sekolah itu melahirkan generasi berkeyakinan berjaya dicapai. Tambahnya, tiada yang lebih menggembirakan selain melihat perkembangan positif dalam diri kanak-kanak tersebut.

“Kali pertama berjumpa kanak-kanak pelarian, saya melihat ramai antara mereka tiada keyakinan diri, malah ada yang enggan berkomunikasi dan berbual dengan orang luar.

“Saya bersyukur, melalui Fugee School, kanak-kanak tersebut bukan sahaja sudah memiliki keyakinan, malah berupaya mengenal pasti hala tuju hidup dan cita-cita,” jelasnya gembira.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, kenapa jelitawan yang memiliki ketinggian 178 sentimeter ini tidak mengikut jejak kebanyakan pemenang pertandingan ratu lain, menjadi penyanyi mahupun pelakon?. Disoal tentang itu, Deborah ada alasan tersendiri.

“Pada 2012, saya berhijrah ke Mumbai, India selama tiga bulan untuk cuba menceburkan diri dalam industri perfileman Bollywood. Selama tempoh itu, saya belajar bahasa Hindi dan menari.

“Namun saya sedar, saya tidak memiliki kesungguhan menjadi seorang pelakon. Bagi saya untuk menjadi pengamal seni anda perlu memiliki minat mendalam,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, Robinsons menjadi pusat beli-belah yang dekat di hatinya.

“Robinsons bakal membuka sebuah lagi pusat di Malaysia, sekali gus membuktikan rakyat negara ini amat menggemarinya. Sebagai seorang yang gemar membeli-belah, saya amat senang berbelanja di sini ekoran kepelbagaian jenama serta barangan yang ditawarkan,” tambahnya.