Bermula dengan merangkul juara pada pertandingan IPlugged anjuran stesen televisyen RTM dan Astro pada tahun 2013, Bella Luna Band dilihat tidak lagi menoleh ke belakang, sebaliknya merancang untuk menghasilkan single sendiri dalam masa terdekat ini.

Dianggotai tiga anak muda iaitu Pown Hasril (gitar), AJ (drum) dan Napie Hasan (gitar) pada awalnya, usaha pertama untuk memastikan perancangan itu berjaya adalah mengadakan sesi uji bakat mencari vokalis sepenuh masa berikutan selama ini mereka perlu bergilir-gilir berperanan sebagai vokal serta bermain instrumen.

“Selepas berjaya merangkul juara dalam pertandingan IPlugged, rakan-rakan menyarankan kami untuk mencipta lagu sendiri dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, untuk memastikan perancangan single sulung itu berjaya, kami perlu mendapatkan ahli baru yang boleh berfungsi sebagai vokal sepenuh masa.

“Bermula dari sesi uji bakat tersebut, akhirnya kami berjaya menjumpai bakat Indra dan terus menawarkannya ruang tersebut,” kata AJ atau nama sebenarnya Mohd. Mahadzir Jamaluddin ketika ditemui .com di studio Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ternyata pemilihan Indra sebagai pelengkap Bella Luna Band membuahkan hasil apabila dua lagu nyanyian mereka iaitu Sampai Waktu dan Pemilik Hatiku digunakan sebagai runut bunyi (OST) cerekarama yang disiarkan di TV3, 3 Hari Menanti Mati yang diterajui bintang popular seperti Adi Putra, Diana Danielle dan Yana Shamsudin.

Ujar AJ, kedua-dua lagu tersebut dicipta khusus untuk 3 Hari Menanti Mati atas tawaran dan kepercayaan produksi cerekarama berkenaan.

“Lagu Pemilik Hatiku menceritakan tentang bibit-bibit percintaan mereka mula tersulam. Manakala, Sampai Waktu pula mengisahkan suami yang ingin memberi zuriat kepada isteri tercinta, namun tidak berjaya kerana mempunyai penyakit yang perlu dirahsiakan,” jelasnya yang memberitahu kumpulan tersebut berkonsepkan Pop Rock.

Sementara itu, kongsi Pown Hasril, Napie Hasan dan Indra, berputik dari kejayaan lagu tersebut diangkat sebagai OST cerekarama berkenaan, kedua-dua single itu berjaya menjalinkan kerjasama di antara Bella Luna Band dengan Warner Music melalui pengedaran EP kedua-dua lagu berkenaan.

Bercerita mengenai langkah seterusnya mereka dalam industri muzik tempatan, keempat-empat anak muda tersebut merancang untuk mempromosikan kedua-dua single tersebut ke stesen-stesen radio tempatan, selain memuat naik ke YouTube serta Spotify dan iTunes. – DHIYA’ZULHILMI DAUD / NOOR AZLINA JAAFAR

Artis: Bella Luna Band

Facebook: Bella Luna Band

Instagram: @bellalunaband

YouTube:
Sampai Waktu-Bella Luna Band

Pemilik Hatiku-Bella Luna Band