Persediaan dan persiapan menyambut hari yang bahagia itu telah dibuat dengan begitu teliti supaya segalanya serba cantik dan indah dipandang mata bagi dijadikan kenangan seumur hidup.

Justeru, pada acara gilang-gemilang The Wedding 2017 di Kuala Lumpur baru-baru ini, butik House of Cosry (Cosry) telah memilih inspirasi gaun pengantin bagi memenuhi keinginan bakal pengantin yang mahukan gaun yang eksklusif bagi hari bahagia mereka.

Menamakan koleksi gaun pengantin terbaru ini sebagai The Queen of Modesty, Pengarah Kreatifnya, Putra Aziz berkata, menjadi keinginannya untuk melihat rekaan gaun pengantin ini dapat menembusi pasaran antarabangsa, apatah lagi setelah diintai oleh pereka New York.

Pereka tersebut bersedia membawa dan memperaga gaun pengantin Muslimah tersebut di sana.

Katanya, Persatuan Komuniti Islam New York tampak berminat meletakkan gaun pengantin Cosry di butik mereka.

“Jika segalanya berjalan lancar, Insya-Allah rekaan Cosry boleh dibeli di New York, Amerika Syarikat.

“Saya akan berusaha mengadakan majlis pelancaran dan pertunjukan fesyen di sana dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, untuk koleksi busana kali ini, Putra mengeluarkan 12 rekaan yang diberi sentuhan unik dan istimewa.

Dia sengaja mengetengahkan konsep gaun pengantin Muslimah, yang lengkap dengan rekaan tudung dan pastinya menyerlahkan lagi penampilan pengantin baharu pada hari bersejarah mereka.

“Ini merupakan kali pertama konsep gaun pengantin Muslimah dipertonton dalam satu pertunjukan fesyen pengantin yang bersesuaian dengan trend dan gaya hidup hari ini yang lebih nampak menonjolkan ciri Islam.

“Fesyen Muslimah pada hari ini sudah berjaya menembusi pasaran fesyen yang luas dan ramai pelanggan Cosry yang bertudung. Oleh itu saya berasa bertanggungjawab dan terpanggil bagi memenuhi permintaan mereka supaya nampak lebih anggun dan sopan pada hari bahagia tanpa mengabaikan tuntutan syariah.

“Walaupun menghasilkan rekaan pengantin bertudung, Cosry tetap menampilkan elemen sofistikated dan elegan supaya penampilan pengantin menjadi tumpuan tetamu yang hadir ke majlis tersebut.

“Kami mahu setiap pengantin baharu gembira dan bahagia pada hari persandingan mereka umpama seorang ratu di sisi rajanya,” kata Putra.

Daripada 12 rekaan yang dihasilkan, enam daripadanya berona putih gading sementara enam lagi dipilih daripada warna-warna nude, yang diserikan dengan renda rona putih gading dan diperindahkan dengan kilauan kristal swarovski.

Fabrik Italian Duchess dan organza menjadi pilihan pereka ini bagi gaun pengantinnya untuk musim ini.