Hakikatnya, masih ramai yang tidak memakai saiz yang tepat untuk mereka atas beberapa faktor seperti tiada masa untuk ke pusat beli-belah dan mendapat konsultasi daripada pekerja bahagian tersebut lalu memilih untuk membeli secara dalam talian.

Masalah sama ada terlalu ketat atau terlalu longgar, anda disyorkan untuk mendapatkan konsultasi dengan pakar bahagian pakaian dalam supaya menemukan yang sempurna.

Menyedari kesukaran tersebut, Triumph Malaysia baru-baru ini membuka bilik persalinan mudah alih yang pertama di Malaysia. Dengan memanfaatkan tema ‘Mencari yang Satu’, ia dapat menghidupkan semula pengalaman mencuba pakaian dalam untuk setiap wanita melalui bilik persalinan mudah alih.

Menurut Pengarah Komersial, Triumph Malaysia dan Singapura. Sheryl Wong, bilik persalinan mudah alih pertama di negara ini direka untuk memberikan pengalaman unik kepada pelanggan di seluruh negara

“Pada dasarnya, cetusan idea ini memberi peluang kepada para pelanggan kami untuk mencari ketepatan ukuran pakaian dalam mereka dengan mudah serta unik.

“Di Triumph, kami sentiasa mengutamakan keperluan pelanggan dan dalam era kini di mana segala-galanya dihantar sehingga ke depan pintu, kami yakin bilik persalinan mudah alih ini akan menjadi tumpuan utama.

“Bayangkan berjalan masuk ke dalam bilik persalinan yang ditempatkan di tepi bahu jalan, tanpa kepayahan mencari petak letak kereta dan tanpa perlu berjalan di dalam pusat beli-belah? Apa yang lebih menarik ialah anda juga mendapat coli yang sesuai dan sempurna,” ujarnya ketika majlis pelancaran bilik persalinan mudah alih Triumph yang pertama, di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Subang, baru-baru ini.

Bilik persalinan mudah alih itu memulakan ‘perjalanan’ pada Oktober lalu dalam usaha memastikan setiap wanita mendapat kesesuaian sempurna dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Johor Bahru dan Singapura untuk tempoh tiga bulan.

Triumph akan bekerjasama dengan rakan niaga utama dan pusat beli-belah di bandar untuk menarik pelanggan setia dan bakal pelanggan Triumph supaya mengalami kesesuaian yang sempurna. Turut dijalankan pada masa yang sama adalah acara ruang legar untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memakai coli yang sempurna.

Bilik persalinan mudah alih Triumph akan berada di 1 Utama, Petaling Jaya hari ini manakala 13 dan 14 Disember ini akan berada di Queensbay Pulau Pinang dan 15 hingga 17 Disember pula di Gurney Pulau Pienang.

“Kempen bilik persalinan mudah alih ini telah dibangunkan untuk mengukuhkan hubungan antara pelanggan dan jenama kami. Pengalaman persalinan di dalam bilik makmal ini membolehkan penglibatan secara langsung dengan pelanggan.

“Ini kemudian akan memberi ruang untuk perkhidmatan pelanggan yang lebih rapat selain pemahaman lebih baik terhadap keperluan mereka. Ia pasti akan memberikan satu wadah yang hebat bagi kami untuk memperbaiki dan menyampaikan perkhidmatan berkualiti, dan dalam masa sama memperolehi maklum balas daripada pelanggan,” tambah Sheryl.

Melalui perkhidmatan bilik persalinan mudah alih ini, Triumph berhasrat menyediakan pengalaman kepada setiap wanita dalam mencari kesesuaian sempurna dan menemukan coli yang diinginkan.

Sempena pelancaran Bilik Persalinan Mudah Alih ini, Triumph juga melancarkan siri koleksi Hari Natal yang baru.