Golongan ini memperlihat fikiran sempit dan dangkal mereka dengan masih berpaut pada amalan diskriminasi kepada wanita bertudung.

Pendedahan oleh Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC), mengenai aduan terdapat pekerja wanita Islam dalam bidang perhotelan telah diarah menanggalkan tudung, sesungguhnya amat mengejutkan.

Lebih memalukan apabila Persatuan Hotel Malaysia turut mempertahan larangan memakai tudung dengan alasan langkah itu dikatakan sebahagian daripada polisi antarabangsa, bukannya diskriminasi.

Ternyata tindakan biadab itu mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk gesaan menarik balik lesen hotel yang melaksanakan polisi melarang wanita bertudung.

Sememangnya mempertikai keupayaan berkerja seseorang hanya kerana mereka berhijab, adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal.

Bagi penata gaya hijab terkenal, Diyana Zainul Ehsan, dia tidak melihat bertudung sebagai satu halangan untuk bekerja kerana ia sudah menjadi simbolik kepada wanita Islam untuk mengamalkan ajaran Islam dengan cara menutup aurat.

Ujarnya, isu pekerja wanita tidak dibenarkan bertudung sepatutnya tidak berlaku di negara ini, yang merupakan sebuah negara Islam dan masyarakatnya yang pelbagai bangsa bebas untuk mengamalkan ajaran masing-masing.

Dia yang merupakan penata gaya hijab bagi Neelofa berkata, pengalaman ketika menjalani penggambaran di Eropah bersama pelakon itu membuka mata bahawa orang di Barat sudah berfikiran terbuka dan menerima penampilan wanita Muslim tanpa sebarang prejudis.

“Mereka memuji hijab yang digayakan oleh Neelofa, malah tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersamanya. Ini jelas menunjukkan mereka tidak memandang serong kepada penampilannya yang berhijab.

“Walaupun media-media Barat masih melaporkan tentang Islamophobia, namun ketika di Eropah kami tidak pernah berhadapan dengan pengalaman sebegitu dan kami diterima baik oleh masyarakat di sana.

“Justeru saya berasa agak pelik apabila berlaku diskriminasi terhadap pekerja bertudung berlaku di negara saya sendiri ,” katanya kesal.

Baru-baru ini dia turut dijemput oleh sebuah syarikat untuk membuat demonstrasi penggayaan tudung dan apa yang mengejutkannya, wanita-wanita kaum lain turut menunjukkan minat untuk mempelajari cara-cara memakai tudung.

Ujarnya, tidak seperti dahulu, wanita Melayu pada hari ini juga semakin bijak menggayakan tudung dan fesyen bertudung juga sentiasa berubah mengikut peredaran zaman.

“Semua pihak perlu menolak sebarang bentuk diskriminasi terhadap wanita bertudung, kerana mereka hanya mengamalkan hak kebebasan beragama.

“Sebaliknya, sudah tiba masa wanita dinilai atas kemampuan dan kebijaksanaan mereka, bukan atas tubuh badan, warna kulit dan rupa paras mereka,” katanya.

Ginella Massa

Ginella Massa menjadi pembaca berita televisyen berhijab pertama di Kanada, salah satu negara yang cukup bertoleransi terhadap orang Muslim.

Ini menunjukkan ada negara Barat yang sudah mula menerima situasi tersebut untuk melihat imej positif wanita Islam tanpa mendiskriminasikan mereka, malah menolak persepsi orang Barat bahawa hijab merupakan simbol penindasan terhadap kaum wanita.

Islam yang sentiasa mempromosikan kedamaian dan kesejahteraan bagi seluruh alam menyebabkan agama Islam telah dapat diterima dengan baik di seluruh pelosok muka bumi ini.

Ibtihaj Muhammad

PADA peringkat antarabangsa, isu hijab dan tudung juga sentiasa menjadi polemik yang menarik perhatian awam sama ada di benua Asia mahupun Eropah

Sedang kita masih membincangkan isu tersebut, pengeluar alat permainan terkemuka, Mattel, baru-baru ini melancarkan anak patung Barbie pertama memakai hijab.

Ia sebagai penghormatan kepada atlet lawan pedang Amerika Syarikat (AS), Ibtihaj Muhammad yang merupakan atlet Olimpik AS pertama yang berhijab ketika bersaing.

Pemenang pingat perak acara lawan pedang pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil itu, mencipta sejarah apabila muncul sebagai atlet pertama AS mengenakan tudung seperti peserta negara-negara Islam lain.

Jenama sukan terkemuka dunia, Nike juga baru-baru ini telah mengumumkan koleksi Nike Pro Hijab khusus untuk wanita menutup aurat ketika bersukan.

Neelofa

Pengacara dan pelakon popular, Neelofa mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi rakyat Malaysia pertama yang dilantik menjadi duta kepada jenama kosmetik mewah antarabangsa, Lancome sebaris dengan Kate Winslet, Julia Roberts, Penelope Cruz, Lily Collins, Lupita Nyong’o dan Taylor Hill yang pernah menjadi duta jenama tersebut.

Wanita ini yang juga duta kepada satu lagi jenama antarabangsa, Swarovski juga merupakan wanita berhijab pertama di dunia yang diangkat untuk menjadi duta kepada jenama kosmetik mewah tersebut.

Noor Toguri

gadis kacukan Amerika-Libya dari Maryland, Amerika Syarikat (AS), Noor Tagouri memberi inspirasi kepada dunia kerana menjadi pembaca berita pertama di negara itu yang mengenakan hijab.

Dia sememangnya bercita-cita menjadi wanita bertudung pertama diangkat sebagai pembaca berita di stesen televisyen komersial AS bagi mengubah landskap diskriminasi terhadap wanita Islam.

Dia yang bekerja di rangkaian berita online, Newsway turut mengejutkan dunia apabila muncul di majalah Playboy, yang terkenal paparan gambar wanita-wanita seksi.

Sebaliknya, Tagouri tampil imej jauh berbeza apabila dia muncul dengan berhijab dalam edisi tahun lalu yang bertemakan Renegades.