Namun bagi Nur Afifah Rasol, jenama yang diasaskan masih lagi hijau dalam industri dan merasakan 2017 sebagai tahun permulaannya untuk turut sama memeriahkan industri fesyen tanah air.

Meskipun baru mengorak langkah, jenamanya iaitu Fifa Rasol telah pun mempunyai lima koleksi yang direka khas sendiri dengan menekankan konsep tertentu.

Dengan hasil jualan yang memberangsangkan bagi koleksi lalu dan berbekalkan kemahiran yang dimiliki sejak kecil, jenama ini memperkenalkan dua koleksi raya yang direka khas dengan perincian tertentu bagi digayakan golongan muda dan juga tua.

Dua rekaan tersebut iaitu Deluxe dan Royale, kedua-duanya merupakan baju kurung moden yang masih mengekalkan ciri-ciri mengikut syariat Islam dengan potongan rekaan yang tidak terlalu ketat atau longgar.

Rekaan Deluxe menekankan efek geometri yang menampakkan gaya urban dan elegan manakala Royale pula direka beralun dan diserikan dengan hiasan renda.

Kedua-dua koleksi ini disertakan sekali zip di dada untuk memudahkan ibu-ibu menyusukan anak dan juga zip di lengan untuk memudahkan pemakai mengambil wuduk selain mempunyai perincian poket di skirt untuk sebarang kegunaan.

“Istimewanya koleksi ini, rekaannya tidak mungkin terdapat di mana-mana butik kerana elemen rekaan yang eksklusif. Sebelum ini saya amat menekankan konsep warna-warna pastel bagi setiap koleksi, namun kali ini cuba lari dari kebiasaan iaitu dengan menawarkan warna-warna terang bagi menarik pelanggan yang bekerja lebih-lebih lagi wanita pertengahan umur.

“Lebih menarik lagi, salah satu koleksi ini juga didatangkan khas untuk kanak-kanak berumur satu hingga sepuluh tahun supaya ibu dan anak dapat bergaya sedondon di hari lebaran nanti,” katanya.

Mengutamakan penggunaan fabrik krep komo memandangkan fabrik tersebut tidak panas dan juga anti kedutan, setiap koleksi didatangkan dengan pilihan empat warna iaitu untuk koleksi Deluxe ditawarkan dengan pilihan warna seperti biru gelap, merah jambu samar, hijau pudina, dan kelabu manakala koleksi Royale mempunyai pilihan dengan warna merah jambu, biru debu, ungu debu, dan hijau zamrud.

Menurut gadis berusia 22 tahun ini, koleksi raya tersebut juga didatangkan khas dengan seluar bagi pelanggan yang tidak selesa untuk berbaju kurung sehari suntuk.

Dalam manis berbaju kurung, pelanggan juga boleh menggayakannya dengan seluar yang mana memberi efek elegan dan kasual buat si pemakai. Jika musim perayaan sudah tamat, mereka boleh menggayakan ke pejabat atau bersantai dengan teman-teman dengan pilihan berseluar.

Ditawarkan dengan harga di bawah RM200, saiz yang ditawarkan adalah XS sehingga 2XXL.

Bercerita mengenai perancangan perniagaannya sepanjang musim perayaan ini, Nur Afifah berkata, dia juga bakal memperagakan koleksi rayanya di festival raya Mood Republik yang menjadi percubaan pertamanya mengikuti acara besar bagi memperkenalkan lagi jenamanya.

Yakin dengan sambutan yang akan diterima untuk koleksi baharu ini, bagi mereka yang inginkan maklumat lanjut boleh layari laman sesawang Facebook Halaman Fifa Rasol, instagram @fifa.rasol.