Bermula dengan koleksi warna-warna gelap, kurta kini direka dengan pelbagai warna serta corak bagi memberi pilihan kepada penggemarnya.

Selain itu, elemen-elemen kontemporari turut diselitkan terutama pada potongan yang lebih kemas dan sedikit mengikut bentuk badan.

Tidak mahu ketinggalan dengan trend tersebut, Stail Seratus, tampil dengan kurta yang diinpirasikan daripada bendera negeri di Malaysia.

Jenama yang diusahakan oleh dua sahabat, Dr. Mohammad Shahir Mohammad Suhaimi dan Habib Abdul Rauf Yunus, itu menggabungkan sekurang-kurangnya dua warna dan tidak lebih daripada tiga warna, yang mewakili bendera negeri seperti Selangor, Pahang, Johor, Kelantan dan Terengganu.

Mohammad Shahir berkata, sasaran rekaan adalah untuk golongan remaja yang gemar mengikut trend terkini dalam penampilan.

“Pemilihan warna-warna inspirasi negeri ini juga menyuntik semangat patriotik dalam kalangan generasi muda agar bangga dengan negeri mereka yang diterjemahkan dalam cara penampilan,” katanya.

Kurta Stail Seratus atau lebih dikenali Kurta Ultras menggunakan fabrik santana yang sangat lembut, mudah digosok serta cepat kering bagi memberi keselesaan kepada pemakai terutama lelaki yang lasak.

Menawarkan pilihan saiz dari S hingga XL, kurta tersebut diperincikan dengan penggunaan zip di bahagian dada, manakala di hujung lengan baju disertakan dengan butang sebagai kemasan untuk menyuntik elemen kasual.

Elemen warna blok dijahit seperti bentuk huruf V bagi menjentik aura ranggi dan urban yang pasti memberi kelainan dalam gaya.

Boleh dipadankan dengan seluar khakis mahupun denim, pemakai kurta pastinya tampak segak jika dilengkapkan dengan sedikit aksesori seperti beg mahupun kasut yang bersesuaian.

Sesuai digayakan ketika acara formal dan santai, Kurta Ultras dijual pada harga RM129.90 sehelai dan ketika ini jenama itu mengadakan jualan diskaun untuk waktu terhad dengan harga RM99.90 sehelai.