The Twee kini sudah mempunyai 30 buah butik di seluruh Korea dan mendapat pengiktirafan sebagai Jenama Fesyen Peneraju Dunia oleh Pertubuhan Fesyen Korea dan Jabatan Perdagangan Korea atas pencapaian mereka memenangi hati penggemar fesyen di sana.

Buat pertama kali jenama ini membuka butiknya di Asia Tenggara dan ternyata Kuala Lumpur menjadi pilihan mereka memandangkan masyarakat negara ini semakin peka dengan perkembangan fesyen dan menerima idea-idea luar.

The Twee kini mempunyai cawangan di pusat beli-belah KL Gateway Mall, Bangsar South, Bangsar.

Menjanjikan gaya progresif dan menepati cita rasa serta keselesaan yang terbaik untuk golongan jejaka, The Twee menampilkan koleksi terbaharu mereka yang direka oleh pereka The Twee di Korea dengan pengenalan 30 gaya kontemporari yang memfokuskan pada warna-warna terang dan cerah untuk membawa sorotan idea baharu pada landskap busana lelaki.

Turut diinpirasikan daripada cuaca hangat di Korea, rekaan bercorak seperti flora menjadi trend terkini di negara tersebut yang mana fesyen ranggi menjadi pilihan mereka yang mahukan busana kasual untuk keluar bersantai bersama teman-teman.

Menurut Pengurus Besar Bluebell Horizon, Aqmal Azam, jenama The Twee berusaha untuk membawa trend terkini Korea ke Malaysia malah koleksi itu juga dibuat sesuai dengan cuaca khatulistiwa Malaysia.

“Gelombang Korea atau lebih dikenali sebagai Hallyu tidak perlu diperkenal lagi kepada masyarakat di negara ini. Kita didedahkan dengan muzik, makanan, fesyen, gaya rambut, produk kecantikan dan pelbagai lagi dari Korea.

“Yang mengagumkan, kita menunjukkan bahawa kita sentiasa terbuka untuk menerima pengaruh luar.

“Direka untuk memenuhi tuntutan fesyen wanita dan lelaki merangkumi pakaian dan aksesori, The Twee berusaha untuk memikat hati peminat Korea di negara ini dengan penghasilan busana berkualiti tinggi kerana kami berhasrat untuk mengembangkan jenama ini, di samping mewujudkan matlamat untuk terus mempamerkan fesyen Korea yang sentiasa berubah di seluruh Asia Tenggara dan mungkin, di seluruh dunia,” katanya.

Tambahnya, mereka mahu menjanjikan keseimbangan gaya moden pada setiap rekaan yang ditampilkan sebagai suatu padanan sempurna selain bersesuaian dengan trend tahun 2017 yang mengetengahkan gaya jalanan sebagai elemen utama fesyen. -NURSYAMIMI SAIDI