Guzelhive International Sdn Bhd telah melancarkan program tanggungjawab sosial, iaitu projek selendang dan tudung empat segi La Serie De Charite bagi Tabung Seringgit Sejuta Harapan yang dikelolakan oleh Yayasan MyPrihatin @prihatin.my.

Sebanyak empat rekaan tudung telah dihasilkan oleh pihak Guzelhive yang boleh dibeli oleh orang ramai yang ingin membuat sumbangan kepada Tabung Seringgit Sejuta Harapan ini.

Sebahagian daripada hasil jualan tudung ini kelak akan disalurkan kepada tabung tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Guzelhive International Sdn Bhd, Noridah Udin Niah Bahari, 35, hasil kutipan daripada tabung tersebut akan digunakan bagi membantu pesakit-pesakit kronik, anak yatim, warga tua dan mangsa bencana.

Katanya, pihaknya bekerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) bagi membantu kanak-kanak pesakit jantung kronik miskin dan dari luar bandar yang telah menunggu lama bagi pembedahan.

Tambah Noridah, terdapat sebanyak empat corak tudung yang boleh dipilih, iaitu L’amour, Fantaisie, Magnifique dan Miracle. Keempat-empat tudung ini mempunyai corak yang menarik ilham daripadanya sendiri. Setiap corak mempunyai cerita yang tersendiri.

“L’amour diilhamkan berdasarkan kolaborasi MyPrihatin bersama IJN bagi pesakit jantung kanak-kanak. Corak Fantaisie pula menceritakan kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik yang juga mempunyai impian dan angan-angan seperti kanak-kanak normal.

“Magnifique berkisar tentang semua orang tidak kira bangsa, agama dan usia yang sukakan kedamaian dan keindahan.

“Tudung Miracle membayangkan harapan pesakit-pesakit kanak-kanak yang kronik yang dibantu supaya dapat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing setelah mendapat rawatan dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal yang lain.

“Keempat-empat tudung ini dibuat daripada fabrik satin dull yang tidak licin dan mudah dibentuk. Dua helai berbentuk selendang dan dua helai lagi adalah tudung empat segi.

“Selendang berukuran 60x180 sentimeter sementara tudung empat segi berukuran 100x100 sentimeter. Cukup lebar dan selesa bagi mereka yang bertubuh besar dan dapat menutup bahagian dada,” kata Noridah.

Jelasnya lagi, koleksi La Serie De Charite ini eksklusif kerana hanya dibuat sebanyak 250 helai sahaja bagi setiap corak dan disediakan dalam kotak khas.

Dijual pada harga RM99 sehelai, tudung ini sangat sesuai dijadikan sebagai hadiah atau buah tangan. Dia juga mengharapkan supaya pihak korporat dan swasta dapat memberikan sokongan terhadap usaha ini dan membeli koleksi tudung tersebut bagi diberikan sebagai hadiah, cenderahati korporat dan hamper.

“Saya ingin menggalakkan wanita supaya turut membeli dan pada masa sama dapat membuat sumbangan amal. Apabila membeli, anda bukan sahaja dapat dilihat cantik dengan tudung yang bercorak menarik tetapi juga dapat melakukan sesuatu untuk mereka yang dalam kesusahan,” ujar Noridah lagi.

Kepada yang ingin menyumbang dengan membeli tudung koleksi La Serie De Charite boleh menghubungi Noridah di 012-2265085 atau layari FB:guzelhive atau laman sesawang: www.guzelhive.com.