Berbicara mengenai busana perkahwinan, rata-rata pasangan memilih untuk menyewa atau menempah pakaian baharu di butik perkahwinan, namun pernahkah anda mendengar bahawa baju kahwin boleh dibeli secara dalam talian?

Platform laman web beli-belah terkenal, Fashion Valet sekali lagi menampilkan kelainan dalam dunia fesyen tempatan hari ini iaitu dengan menawarkan busana perkahwinan yang dihasilkan oleh lapan pereka terkenal tempatan.

Pengasas Fashion Valet, Vivy Yusof berkata, kategori terbaharu yang diperkenalkan oleh platform fesyen itu dikenali sebagai Fashion Valet Bridal menampilkan beberapa rekaan baju pengantin moden untuk memenuhi cita rasa masyarakat kini.

“Kami menyasarkan untuk menyediakan semua jenis pakaian kepada peringkat kehidupan wanita, termasuk hari pertama masuk ke kolej, temu janji pertama, hari pertama bekerja mahupun melahirkan anak. Dengan ini, kami bangga mengumumkan bahawa Fashion Valet sudah menjadi teman kepada setiap wanita.

“Fashion Valet Bridal memudahkan bakal pengantin untuk menyiapkan persiapan perkahwinan tanpa perlu berdepan dengan kesesakan lalu lintas mahupun kekangan masa. Mereka boleh memilih busana perkahwinan yang ditawarkan mengikut cita rasa dan kesesuaian majlis yang bakal diadakan,” katanya dalam Majlis Pelancaran Fashion Valet Bridal, di sini baru-baru ini.

Antara pereka yang terlibat dalam menjayakan Fashion Valet Bridal termasuk Mimipikita, PUT3, Rizman Ruzaini, Fizi Woo, Khoon Hooi, S.Baharim, Syomirizwa Gupta dan NH by Nurita Harith.

Dikatakan langkah paling parktikal dengan membeli busana perkahiwnan secara dalam talian, koleksi Fashion Valet Bridal juga disifatkan sebagai baju kahwin eksklusif pada harga yang berpatutan iaitu antara RM1,800 hingga RM5,000.

Rona putih amat sinonim dengan baju kahwin dan perkara itu dapat dilihat menerusi koleksi Fashion Valet Bridal. Selain itu, rekaan baju kurung moden menjadi pilihan utama para pereka memandangkan gaya itu antara yang paling manis untuk disarung bakal pengantin sewaktu majlis bahagia mereka.– ADLINA/ROY AZIS