Beg tangan katup kerangka keras (flap) buatan Itali dengan kemasan songket dari Terengganu ini, merupakan gabungan rekaan seni Timur dan Barat.

Koleksi tersebut merupakan yang pertama seumpamanya menggunakan tekstil songket pada beg tangan jenis flap pada saiz standard.

Reka bentuk yang dipilih adalah yang paling popular antara pelbagai reka bentuk beg tangan yang terdapat di pasaran kerana saiznya yang praktikal dan mudah digunakan.

Menurut pengasas TasBijoux, Nur Zalikha Mohd. Sabri, 25, bagi siri pertama koleksi ini, dia menggunakan songket tenunan mesin dari Terengganu.

Motif songket akan dipotong dan dipadankan terlebih dahulu di studio TasBijoux sebelum dihantar ke Itali bagi disiapkan di sana.

“Tiga warna dipilih, iaitu merah tua, merah cili dan biru. Warna-warna ini ada permintaan, warna selamat dan nampak mewah.

“Selepas ini saya akan mengeluarkan warna hitam pula. Corak songket yang dipilih mudah bagi pemakai untuk memadankan dengan pakaian mereka.

“Hanya ada 30 buah beg tangan sahaja dalam siri ini dan dikategorikan sebagai Bespoke, iaitu beg yang dilancarkan pada siri ini tidak akan diulangi pada siri seterusnya.

“Oleh itu, pemilik beg koleksi ini akan sentiasa mempunyai reka bentuk beg tangan yang unik yang tidak akan dihasilkan lagi pada masa hadapan.

“Harga beg tangan siri ini bermula daripada RM690 dan harga akan berubah bergantung kepada jenis songket, kulit, perkakasan serta kemasan yang digunakan.

“Memang ramai yang sudah membuat beg tangan songket, namun saya memberi keutamaan kepada bentuk dan menggunakan kulit Itali yang lebih berkualiti.

“Saya mahu menjadikan beg tangan ini sebagai sesuatu yang ikonik dan dikenali ramai,” katanya.

Tambah Nur Zalikha, TasBijoux akan mengeluarkan siri kedua beg tangan flap songket ini dengan menggunakan songket tenunan tangan pula jika sambutan yang diterima daripada siri pertama ini menggalakkan.

Koleksi ini ujarnya, diharapkan dapat menjenamakan semula tekstil tradisi songket daripada hanya dipakai semasa perayaan dan majlis rasmi sahaja kepada aktiviti harian atau ke tempat kerja dalam bentuk beg tangan.