Terbaru, Bawal Exclusive menghasilkan sehelai tudung bawal termahal pernah mereka hasilkan dengan harga yang mencecah RM33,000, sekali gus memadamkan rekod jualan sehelai tudung mereka bernilai RM21,600 pada tahun 2017.

Tudung bawal yang cukup eksklusif ini menjadi milik seorang usahawan dari negeri Cik Siti Wan Kembang, yang merupakan peminat setia jenama Bawal Exclusive dan warna putih dipilih untuk helaian tersebut bagi menyerlahkan jiwa muda si pemilik tudung.

Diilhamkan daripada bunga dandelion, tudung bawal rekaan pasukan pereka Swarovski Wattens ini juga dipercayai merupakan tudung termahal di dunia yang pernah dihasilkan.

Pereka mengambil masa selama empat minggu untuk menyiapkan rekaan akhir selepas tujuh lakaran pertama tidak memuaskan hati mereka.

Sebanyak 16,641 biji kristal pelbagai bentuk, saiz dan warna dipilih dengan teliti untuk menghasilkan rekaan cukup mewah ini dan cabarannya terletak pada susun atur kedudukan kristal yang dipertanggungjawabkan kepada penyelia kilang Bawal Exclusive.

Pelbagai kajian telah dilakukan bagi memberi kesempurnaan pada perincian rekaan segi tiga pada bahagian belakang tudung kerana Bawal Exclusive adalah rekaan terbesar pada hijab yang pernah mereka hasilkan kerana sebelum ini Swarovski hanya memfokuskan rekaan pada barangan kemas, aksesori, dan perincian pada busana.

Cabaran juga buat penyelia yang mempunyai pengalaman selama 16 tahun ini kerana setiap tampalan perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati dan teliti agar kristal yang dilekatkan berada pada kedudukan yang betul kerana jika tersalah tampal, tudung boleh dikira rosak.

Mengambil inspirasi daripada lambaian pohon dandelion yang sentiasa melepaskan benih-benih halus yang menghasilkan pemandangan indah buat sesiapa yang melihat, rekaan ini ternyata elegan untuk seorang wanita yang mendambakan helaian tudung yang mampu menyerlahkan personaliti tersendiri.

Bagi menambahkan nilai rekaan tudung eksklusif tersebut, motif fauna melengkapi rekaan ini dengan kehadiran elemen pepatung sebagai penyeri bagi membawa simbol kebebasan dengan menggunakan kombinasi enam hingga 10 warna kristal Swarovski.

Tudung ini diperagakan pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Bawal Exclusive Ke-20 di The St. Regis Kuala Lumpur baru-baru ini yang mana Bawal Exclusive turut memperkenalkan rekaan tudung koleksi edisi terhad sebanyak 20 helai pelbagai corak dan warna yang merupakan rekaan terkini dan eksklusif yang tidak pernah dilihat, dijual atau dihasilkan sebelum ini.

Dua dekad lamanya Bawal Exclusive berada di pasaran bersaing bersama-sama dengan jenama tudung lain, jenama ini membuktikan ia tetap relevan dan tidak lapuk ditelan zaman dalam dunia fesyen tempatan.

Seiring dengan peredaran zaman, tudung bawal tidak ketinggalan untuk bersama-sama memeriahkan lagi industri busana muslimah apabila tampil dengan pelbagai rekaan menarik dan ditambah pula dengan perincian yang bergemerlapan daripada kristal Swarovski.

Pengasasnya, Haliza Maysuri berkata, biarpun fesyen tudung bawal telah popular sejak awal penggunaan tudung namun ia masih menjadi pilihan pengguna.

“Hanya perubahan dalam rekaan dan pilihan fabrik sahaja memberi nafas baharu agar tudung bawal terus memenuhi citarasa pengguna. Permintaan yang semakin meningkat dari tahun ke tahun meyakinkan kami untuk terus fokus dalam penghasilan tudung bawal ini dengan keunikan kristal Swarovski.

“Dari segi sasaran jualan pula, Bawal Exclusive mencatatkan peningkatan 30 peratus setiap tahun dan berjaya menembusi beberapa negara luar kerana rekaannya yang unik,” ujarnya.