Sejak itu, aktiviti tersebut melibatkan sehingga 30 orang wanita dalam kumpulan kurang bernasib baik dari sekitar Lembah Klang dan Ipoh, dengan menawarkan mereka pekerjaan rata-ratanya sebagai pereka, bagi meneruskan warisan batik tempatan yang sememangnya terkenal sehingga ke peringkat antarabangsa.

Pengasasnya, Amy Blair, yang berasal dari Texas, Amerika Syarikat, datang ke negara ini pada tahun 2007 dan secara kebetulan dia berjumpa seorang ibu tunggal untuk mengajarnya berbahasa Melayu secara separuh masa.

Amy, yang juga seorang ibu, menyelami perasaan wanita tersebut apabila perlu bekerja keras untuk menyara anak-anak dan mengetahui dia mempunyai sebuah mesin jahit, Amy mula bereksperimen dengan batik sarung yang dibelinya di pasar.

Jenama The Batik Boutique bermula selepas seorang demi seorang datang kepadanya untuk turut sama menyertai penghasilan rekaan batik kraf.

Pada tahun 2010, dia menubuhkan sebuah syarikat untuk bergerak secara aktif membantu golongan wanita ini di samping menjual batik kraf di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Hasil jualan sebanyak 20 peratus disumbangkan kepada persatuan-persatuan kebajikan tempatan termasuklah klinik-klinik yang menawarkan subsidi perkhidmatan.

Dia juga berusaha membantu mereka melalui pelbagai program seperti pengurusan kewangan kepada wanita berpendapatan rendah dan pembelajaran bahasa Inggeris kepada anak-anak miskin.

Untuk musim ini, The Batik Boutique menampilkan koleksi selendang batik celup (hand-dyed) dan motif infiniti. Menggunakan fabrik kapas voile, selendang ini adalah versi terbaharu penggayaan dalam reka bentuk klasik.

Mempunyai kelebaran bersesuaian, kedua-duanya boleh digayakan sebagai skaf penutup leher atau selendang penutup kepala.

Selain itu, turut ditampilkan koleksi beg tote yang sesuai digunakan secara harian kerana saiznya yang besar. Diperbuat daripada batik kapas blok pada bahagian luar dan kanvas berwarna untuk dalam beg, sesiapa sahaja pastinya jatuh cinta dengan rekaan batik yang jarang sekali diketengahkan pada beg wanita.

Bagi yang tidak mahu membawa barang terlalu banyak, mereka mempunyai pilihan beg genggam daripada batik sutera lukisan tangan, selain koleksi sarung telefon bimbit dan buku nota tahunan.

Kesemua koleksi ini ditawarkan pada harga RM55 sehingga RM220. Maklumat lanjut boleh layari www.thebatikboutique.com.