Pameran tersebut merupakan kesinambungan selepas pertunjukan fesyen di KLFW 2017.

Andrew berkata, idea kerjasama itu muncul setelah memenuhi undangan Pengasas Yanas, Tunku Datuk Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, untuk menyaksikan sendiri pembikinan batik di Kelantan.

Pameran yang berlangsung di Galeri Seni, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) itu, menampilkan rekaan batik moden daripada enam pereka fesyen berbakat iaitu Fiqbah, Loh Teik Lim, Roy Xun, Ter Me Ching, Seza Zlukeple dan Syamil Fazwan.

Kesemua mereka merupakan finalis Pencarian AirAsia Runway Ready Designer, dengan masing-masing memberi sentuhan rekaan kontemporari fesyen batik Kelantan.

Menurut Andrew, usaha itu bertujuan meningkatkan minat, memelihara serta menghidupkan kembali seni budaya dan warisan negara melalui rekaan lebih segar.

“Kerap kali kelompok belia menolak pakaian yang menggunakan tekstil tradisional kerana enggan dilabel sebagai kolot atau terlalu konservatif.

“Mereka menggambarkan pemakaian persalinan bercirikan batik sebagai ketinggalan zaman.

“Ironinya, seluas mana promosi atau usaha badan-badan tertentu mengangkat batik ke peringkat global, masih gagal menarik minat remaja tempatan yang sepatutnya menjadi penyambung warisan tersebut,” katanya.

Bagi Andrew, usaha KLFW dan Yanas mampu dilihat sebagai permulaan positif dalam membina kecintaan kelompok remaja terhadap batik, khususnya melalui aspek pemodenan dari segi rekaan.

Katanya, pereka muda lebih kreatif dalam mereka gaya mengikut arah fesyen masing-masing.

Mereka bebas menggunakan fabrik yang dihasilkan melalui kerjasama Yanas dengan banduan-banduan di Penjara Kelantan dan pelajar di UiTM Machang, Kelantan.

Tidak mahu kelihatan rekaan kelihatan klise, kain batik digabungkan dengan pelbagai material lain yang menarik dan direka dengan rekaan busana moden.

Antaranya, penggunaan kain sutera broked digabungkan dengan kain batik senada yang memberi gaya mewah pada potongan gaun moden hasil rekaan Loh Teik Lim.

Rekaan Fiqbah, iaitu sut menggunakan kain batik Kelantan menaikkan aura serta menonjolkan keberanian si pemakai.

Gaya sofistikated itu pasti menjadi tumpuan dan bualan jika digayakan sebagai pakaian formal ke pejabat.

Sut batik Kelantan menggunakan elemen off shoulder dengan lengan gelembung pada blaus yang digabung skirt pensel, terbukti lebih anggun.

Gaya lebih funky dan terkini diterjemahkan oleh Syamil Fazwan yang menggabungkan gaya terbaharu, seperti penggunaan bomber jacket daripada kain batik.