Namun itu tidak bermakna penghasilannya hanya eksklusif di dua negeri itu saja.

Kebelakangan ini sudah ada beberapa pengusaha dari negeri sebelah pantai barat yang kian aktif ‘menjelmakan’ motif-motif kontemporari bagi mewujudkan kelainan.

Sebagai contoh, sejak enam tahun lalu syarikat Tiga Saujana Sdn. Bhd. yang diasaskan Syed Mahmud Syed Ibrahim Aljafree, 65, bersama isterinya, Shamsun Abd. Majid, 62, cukup aktif menghasilkan motif-motif batik yang jauh berbeza berbanding corak dihasilkan di pantai timur sekali gus mendatangkan lebih banyak pilihan buat pencinta batik.

Syed Mahmud berkata, enam motif batik berbeza yang dihasilkan syarikat tersebut dengan hasil kolaborasi bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok adalah batu bata, tulisan sanskrit, ukiran kayu, padi, bakau dan burung merbok.

“Dengan enam motif inilah kami memulakan perusahaan buat batik sejak 2011. Ketika itu UiTM Merbok tampil dengan corak-corak yang ditetapkan sementara kami cuma mencan­ting atau menghasilkan kain-kain itu menggunakan kaedah blok di bengkel kami di Jalan Istana, Kampung Lubok Kawah dekat sini.

“Keenam-enam motif ini sudah didaftarkan dan dipatenkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia oleh pihak UiTM bagi menjadikannya eksklusif.

“Namun kami juga ketika ini sudah mula menghasilkan corak-corak bersifat abstrak bagi mempelbagaikan lagi pilihan buat pembeli,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Ketika ini, batik-batik yang dihasilkan oleh syarikat tersebut berjaya menarik minat golong­an kenamaan termasuk pernah dipersembahkan kepada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah serta Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim.

Bercerita mengenai motif-motif batik tersebut, Syed Mahmud yang juga bapa kepada empat anak berusia antara 23 hingga 36 tahun ini menjelaskan, setiap satunya mempunyai cerita berbeza bersandarkan kepada nilai-nilai sejarah, geografi dan estetika yang dijalankan penyelidik dari UiTM.

“Pihak UiTM sudah melakukan kajian mengenai nilai-nilai yang perlu diterapkan ke dalam ‘batik Kedah’ ini. Sebagai contoh, motif batu bata diambil daripada artifak batu yang pecah di Lembah Bujang sementara tulisan sanskrit pula diambil daripada tulisan yang terdapat pada candi di situ,” katanya.

Mengenai sejarah pembabitannya dalam industri tersebut, beliau sendiri mengakui tidak menjangka bahawa rezekinya akan diperluaskan ke bidang itu.

“Sebelum ini saya merupakan kontraktor kelas A yang banyak terlibat dengan industri pembinaan. Disebabkan itu, tidak ba­nyak yang saya tahu mengenai bidang tekstil ini terutamanya berkaitan batik.

“Saya cuma betul-betul ‘menjiwainya’ setelah diberikan ruang oleh UiTM Merbok untuk bekerjasama dengan mereka pada 2011.

“Memang waktu ini cukup mencabar kerana pengetahuan saya cukup cetek sehingga hendak menyebut jenis-jenis kain pun terbelit lidah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, masih ada beberapa cabaran yang perlu dihadapi biarpun sudah enam tahun syarikat tersebut bertapak sebagai salah satu daripada lima pengusaha batik di negeri ini.

“Di sini tidak ramai memakai atau menghargai batik seperti di pantai timur. Tambahan pula tidak banyak ruang untuk mengenengahkan produk ini di mata pelancong.

“Begitu pun kebelakangan ini beberapa beberapa agensi kerajaan negeri sudah mula membuka mata. Insya-Allah jika tiada aral, pelbagai kraftangan termasuk batik yang dihasilkan oleh anak negeri ini boleh didapati menerusi kios-kios kecil yang akan dibuka di hadapan Masjid Zahir, Alor Setar tidak lama lagi,” katanya yang juga Pengerusi Pengusaha Kraftangan Kedah.

Menurutnya, setakat ini batik-batik yang dihasilkan boleh didapati di beberapa lokasi selain di galeri yang terletak di bengkelnya itu.

“Batik-batik tersebut boleh diperoleh di galeri batik di UiTM Merbok, Hotel TH di Kepala Batas, Alor Setar serta galeri seni di Muzium Padi.

“Jika ada pihak berminat untuk mendapatkannya atau berminat untuk merasai pengalaman mencanting batik, mereka boleh menghubungi saya di talian 016-2214676,” katanya.