Demikian pereka terkemuka negara, Datuk Bernard Chandran dalam memberi tafsiran mengenai koleksi terbaharunya.

Mahu setiap pelanggan yang membeli rekaannya mempunyai aura bergaya seperti puteri diraja, pereka fesyen yang sentiasa hadir dengan rekaan mewah itu berjaya mengagumkan penonton yang hadir dalam persembahan fesyen Petang Raya yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Musim hari raya sememangnya waktu paling mengujakan bagi kebanyakan pereka fesyen.

Sepanjang musim itu, mereka bebas bereksperimen dengan potongan baharu untuk rekaan tradisional. Ini tidak terkecuali, Bernard yang hadir dengan idea segar bagi menyuntik rasa positif dan keyakinan seorang perempuan dalam penggayaan busana.

Dipentaskan berpandukan pengaruh daripada rekaan istimewa untuk golongan aristokrat dan kerabat diraja, Bernard menyalurkan inspirasi gaya glamor yang anggun untuk rekaan koleksi raya tahun ini, khas buat peminatnya yang selama ini menyokong perjalanan kariernya.

Rata-rata memuji keberanian yang ditunjukkan Bernard dalam penyampaian rekaan lebaran dengan mengekalkan konsistensi konsep segar pakaian tradisional Melayu, namun dengan acuan yang tersendiri.

Memberi penghormatan khas buat pelanggan setianya, terutama keluarga diraja Brunei, rekaannya diolah dengan gaya diraja seperti pemilihan tudung dengan cetakan bunga pada kain sutera serta busana mewah yang dihiasi dengan kilauan manik kristal.

Bernard turut mencipta kelainan apabila membawa revolusi potongan baharu, warna kontra, cetakan bercorak, dan tekstur yang kelihatan mewah dengan sentuhan gaya retro 70-an bagi keseluruhan rekaan.

Potongan yang digunakan begitu unik menimbulkan kontra di bahagian depan dan belakang membuatkan rekaannya tidak bersifat konvensional walaupun dia masih mengekalkan ciri tradisional setiap busana.

Palet terang membarisi rekaan baharu, yang masih mengekalkan bayangan glamor seperti kuning cair, biru terang, hitam, putih, merah dan sedikit sentuhan warna lembut bagi memenuhi keinginan pemakai bergaya feminin.

Lari daripada penggunaan klise idea cetakan fabrik yang begitu stereotaip, pereka ini menggabungkan pelbagai corak cetakan dan warna, namun masih mengekalkan keseimbangan kepada rekaan tersebut tanpa kelihatan aneh malah berjaya mengagumkan penonton dengan idea luar biasa itu.

Cuba melakukan sesuatu di luar kebiasaan pereka-pereka yang lain, rekaan dan potongan mewah serta glamor membuatkan koleksi ini tidak mengecewakan.

Selain kombinasi fabrik dan gabungan palet warna, beliau juga memberi inovasi kepada bayangan pemakaian dengan menambahkan perincian manik dan labuci yang rumit bagi memberikan imej sofistikated kepada si pemakai.

Melengkapkan lagi gaya, Bernard turut berkolaborasi bersama jenama barangan kemas, Elegance Club yang terkenal dengan gaya rekaan yang mewah serta beg tangan, Kabinet untuk menyerlahkan lagi persembahan fesyen.

Secara keseluruhan, rekaan oleh Bernard boleh dikatakan jauh meninggalkan pereka-pereka tempatan yang gemar ‘bermain’ dengan trend, yang menyebabkan rekaan terlalu artistik dan rumit.

Asalkan memenuhi konsep praktikal sebagai tunjang asas rekaan, pereka seharusnya menyedari perubahan kehendak orang ramai yang mahukan pakaian yang jelas fungsinya berbanding menghasilkan rekaan yang hampir sama antara satu sama lain.