Tambahan pula iklan yang disiarkan menunjukan testimoni mereka yang menggunakan produk berkenaan wajahnya kelihatan cantik, gebu berseri, jeragat dan jerawat hilang dalam masa yang singkat. Tentu saja wanita akan terpesona.

Tetapi soalannya adakah produk yang diiklankan terutama di laman sosial mendapat pengiktirafan atau kelulusan pihak berkuasa seperti Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Siti 30an (bukan nama sebenar) membelek wajahnya di cermin. Dia bimbang jeragat di wajahnya yang dilihat semakin bertambah beberapa milimeter.

Tidak puashati melihat wajahnya, Siti membelek majalah, akhbar dan laman sosial mencari penawar bagi wajahnya.

Dia teringat Lia, sahabatnya yang menggunakan produk yang dibeli di sebuah toko jamu di ibu kota. Siti mencari produk yang sama di dalam laman sosial sebab malas mengharung jem tambahan sekarang musim hujan.

Di laman sosial terdapat beberapa produk dengan beberapa testimoni mengenai produk yang dijual. Beberapa gambar wajah wanita dengan jeragat yang hampir penuh di wajah bersebelahan dengan wajah wanita yang sama tetapi dengan wajah yang gebu, licin dan berkilat bagaikan porcelin.

Beberapa minit meninjau akhirnya Siti membuat pesanan dan dalam masa beberapa hari produk yang dipesan sampai di pejabatnya. Teruja setelah mendapat produk yang dipesan siti terus mencuba. Memang tidak sampai sebulan wajahnya menjadi licin, gebu dan berkilat bagaikan porcelin.

Siti yang amat puas hati. Dia terus menerus menggunakan produk berkenaan. Malangnya selepas enam bulan wajahnya yang dulu licin bertukar merah, gatal dan kulitnya mula menggelupas. Lama kelamaan wajahnya yang mulus dan gebu menjadi gelap dan kusam malah jeragatnya bertamnbah banyak.

Pakar Kulit Jerawat dan Jeragat, Dr. Haseenah Hassan berkata, pengguna perlu lebih berhati-hati mencari produk kecantikan yang berdaftar dengan KKM serta BPFK bagi mengelakkan produk yang beracun dan berbahaya bukan saja kepada kulit malah kesihatan.

“Pengguna perlu memastikan pakar perubatan yang dikunjungi berdaftar dengan KKM bagi mendapatkan rawatan dan produk yang disahkan selamat oleh KKM,” katanya semasa ditemui di kliniknya di Shah Alam, Selangor.

Dr. Haseenah berkata, sebagai pengguna mereka boleh bertanyakan kandungan yang ada di dalam produk yang diberikan doktor yang merawat masalah kulit mereka terutama jerawat atau jeragat,

“Masalah timbul apabila pengguna mahukan tindakbalas yang cepat tanpa mengetahui kesan di masa akan datang. Misalnya penggunaan merkuri sejenis logam berat yang biasa digunakan untuk mencerahkan wajah memang berkesan tetapi mempunyai kesan sampingan yang buruk,” katanya.

Apabila logam berkenaan meresap masuk ke dalam tubuh seperti merosakkan buah pinggang dan sistem saraf.

Malah menurut Dr. Haseenah, kliniknya hanya menggunakan antibiotik yang diluluskan oleh KKM dan pesakit boleh meminta nama ubat jika diminta.

Pesakit jelas Dr. Haseenah sebaiknya berkomunikasi dengan doktor yang merawat mereka bagi mengetahui bahan yang digunakan dan mereka boleh menolak dan diberikan alternatif lain jika perlu.

“Misalnya hidrokuinon hanya boleh diberikan atas nasihat doktor dan pesakit boleh memilih untuk tidak menggunakannya dan memilih produk lain. Hidrokuinon hanya boleh digunakan dalam tempoh masa enam bulan saja kerana penggunaan berterusan menyebabkan rebound phenomenon iaitu kesan berbalik yang semakin teruk atau ochronosis. Ini bermakna jeragat akan bertambah teruk jika digunakan berterusan,” katanya.

Pengguna boleh menggunakan krim lain yang diluluskan oleh KKM dan BPFK tetapi biasanya kesannya agak perlahan.

Biasanya kulit wajah yang disapu dengan merkuri sukar ditumbuhi jerawat. Sebenarnya kulit epidermis (lapisan kulit paling atas sekali) sudah rosak dan hilang protein dan melanin yang sangat penting untuk melindungi kulit dari sinar uv. Jerawat tidak tumbuh kerana kuman dan bakteria pun tidak boleh membiak di kulit yang sudah rosak.

Jadi masalah jeragat dan jerawat yang timbul sedikit menunjukkan kulit masih sihat dan berfungsi dengan baik.

“Masalah timbul apabila terdapat banyak kosmetik yang boleh dipesan di atas talian seperti di dalam laman sosial siap dengan gambar sebelum dan selepas beberapa hari menggunakannya.

“Pengguna tidak tahu bahan didalamnya dan biasanya produk berkenaan tidak mempunyai kelulusan KKM dan BPFK.