Menyaksikan Anis Hazirah Zakaria beraksi dalam satu pertandingan baru-baru ini, membenarkan tanggapan itu. Apatah lagi, setiap patah kata dilontar dengan tenang, lancar dan jelas.

Mula berpidato sejak sekolah rendah atas galakan ibu bapanya, hobi itu dibawa sehingga ke institut pengajian tinggi. Di situ, minatnya terhadap pidato semakin bercambah.

Anis tidak pernah putus asa jika tidak menang. Apa yang penting baginya, ucapan dapat disampaikan dan pandangan dapat dilontarkan kepada khalayak.

“Mak dan ayah sentiasa memberi galakan kepada saya untuk berpidato. Lima adik beradik saya turut memiliki bakat berpidato,” ujar Anis.

Pelajar Institut Perguruan Malaysia (IPGM) Kampus Datuk Razali Ismail, Batu Rakit, Kuala Terengganu itu memberitahu, tahun ini banyak mencatat kenangan manis buat dirinya.

“Saya merangkul juara dan naib juara dalam pertandingan peringkat kebangsaan,” ujarnya.

Pertandingan itu ialah Pidato Terengganu Transformasi Baharu (juara) dan Pertandingan Pidato 1Malaysia (tempat kedua).

“Kejayaan ini tidak mungkin dapat dikecapi tanpa sokongan ibu bapa, bimbingan rakan dan pensyarah yang turut berperanan iaitu Tengku Nur Raizal Tengku Embong dan Dr. Nyia Irfan Abdullah,” ujar Anis yang berasal dari Baling, Kedah.