Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Anak OKU 
cetus ilham

SEBAHAGIAN daripada peralatan dan keperluan yang dibekalkan untuk 3
SEBAHAGIAN daripada peralatan dan keperluan yang dibekalkan untuk anak orang kurang upaya (OKU) dan palsi serebrum.

‘Saya bukan pereka fesyen, saya bukan doktor dan saya juga bukan pakar fisioterapi, tetapi saya ibu kepada Iki, seorang anak orang kurang upaya (OKU) yang menghidap palsi serebrum (CP),”

Demikian luahan jujur Nor Fazilawati Abdul Wahab ketika ditemui di kediamannya di Klang, Selangor baru-baru ini.

Berbekalkan keazaman mahu melihat anak sulungnya, Muhammad Riyadh Irfan Mohd. Radi, 9, sembuh atau sekurang-kurangnya berubah kepada keadaan yang lebih baik, wanita berusia 36 tahun itu nekad menyediakan keperluan kanak-kanak itu.

Semuanya bermula apabila terlalu sukar mencari keperluan anaknya yang disahkan menghidap CP ketika berusia setahun lebih, sama ada alat bantuan pergerakan, alat permainan mahupun alat bantuan mengajar.

Selalu isunya adalah harga terlalu mahal atau bekalan barangan tersebut hanya dijual di luar negara, sehingga terpaksa menanggung kos penghantaran (pos) yang agak tinggi.

Dia, yang ketika itu bekerja sebagai pereka grafik, tidak menyangka kekangan utama dihadapi ibu bapa yang menjaga anak OKU bukannya kesukaran menjaga mereka, tetapi berdepan dengan perkara-perkara berkenaan yang menyebabkan mereka berasa berputus asa.

Memikirkan masa depan anaknya itu lebih penting, Nor Fazilawati dan suami, Mohd. Radi Faissal, 36, berusaha menyediakan dengan titik peluh sendiri keperluan Mohd. Riyadh Irfan atau panggilan manjanya, Iki,

“Iki disahkan CP terlantar dan memerlukan banyak rutin dilakukan, itu pun belum tentu lagi akan kembali pulih. Jadi untuk membolehkan dia duduk, kami mencari kerusi yang boleh menyokong tulang belakangnya.

“Mula-mula kami guna kerusi bayi biasa yang dipanggil kerusi bumbo, lama-kelamaan apabila dia sudah semakin besar kerusi itu tidak muat, bermula dari situ kami berdepan masalah untuk mencari kerusi yang sesuai.

“Akhirnya kami jumpa kerusi yang sesuai tetapi beli melalui seorang penjual di Sarawak dan ketika kami muat naik di laman media ramai ibu bapa bertanya tentang kerusi itu,” katanya yang mengakui 10 tahun lalu maklumat tentang peralatan bantuan untuk kanak-kanak OKU sangat sukar diperoleh.

Disebabkan ramai bertanya tentang kerusi tersebut, Nor Fazilawati cuba membantu agar dapat membeli pada harga yang lebih murah memandangkan bekalan sangat terhad dan jika diimport pula harga mencecah RM4,000 hingga RM5,000 sebuah.

Dia dan suami kemudian membawa kerusi tersebut ke tempat membuat kerusi supaya mereka boleh mereka kerusi yang sama, namun lebih 10 pembekal menolak dengan alasan kerusi berkenaan kurang mendapat sambutan, malah ada yang kurang arif tentang kepentingan kerusi itu.

“Memang kami sedih sebab niat nak bantu ibu bapa yang ada anak CP tidak kesampaian. Namun, tidak lama kemudian ada seorang pembekal yang sudi terima dan meminta kami tempah dengan jumlah yang banyak.

“Saya muat naik di Facebook dan tidak sangka agak ramai yang menempah. Saya tidak ambil untung banyak pun sebab niat memang untuk bantu dan alhamdulillah sejak itu kami menjadi antara pembekal kerusi berkenaan secara kecil-kecilan,” ujarnya yang turut mempunyai seorang lagi cahaya mata lelaki berusia tiga tahun.

Akuinya, tidak mudah membuat dua kerja dengan tumpuan juga perlu diberikan kepada Iki. Namun, dia percaya jika dia tidak melakukan kerja itu mungkin lebih ramai lagi ibu bapa sepertinya akan berdepan kesukaran menjaga anak-anak istimewa.

Bertuah mempunyai latar belakang dalam Ijazah Sarjana Muda Seni Reka dan Fesyen, kemahiran menjahit yang ada memudahkan Nor Fazilawati menghasilkan produk-produk bantuan lain yang berasaskan penggunaan fabrik.

Ini termasuk sarung sokongan tangan dan kaki, penutup tiub saluran makanan, tali pinggang sokongan, sarung tangan sokongan tulang, bantal leher dan kepala sokongan, topeng muka dan bip.

“Sebelum ini saya tidak mempunyai mesin jahit, jadi saya sering menghantar kain yang siap dipotong kepada ibu di kampung dan selepas siap dijahit, dia akan menghantar semula kepada saya.

“Pun begitu, hasil jualan topeng muka yang memberangsangkan, saya membeli sebuah mesin jahit sendiri dan cuba menghasilkan lebih banyak lagi produk, malah pemotongan kayu dan besi saya lakukan sendiri,” jelas wanita berkenaan.

Uniknya produk yang dihasilkan berbeza di pasaran kerana Nor Fazilawati menggabungkan elemen kartun dan pemilihan warna yang terang pada fabrik yang dipilih bagi menarik minat kanak-kanak OKU menggunakan alat bantu tersebut.

Selain barangan yang memerlukan penggunaan fabrik, dia dan suami juga membuat inovasi ke atas pelbagai jenis alat permainan untuk kanak-kanak OKU dengan memasang suis adapter pada permainan bagi memudahkan mereka memegangnya, di samping menghasilkan semula kerusi dan meja sebagai bantuan untuk kanak-kanak bergerak.

Kongsi ilmu dengan masyarakat

Bagi memudahkan segala ilmu tentang anak OKU dikongsi, Nor Fazilawati mewujudkan kumpulan sokongan buat ibu bapa yang mempunyai anak istimewa di Facebook yang diberi nama Cutie Pie.

Ia turut menjadi platform untuk dia menjual produk yang dihasilkan, yang mana kumpulan berkenaan turut disertai doktor, pakar fisioterapi serta mereka yang mahir dalam rawatan kanak-kanak OKU.

Tambah Nor Fazilawati, biar pun ada yang mempertikai usahanya menyediakan kelengkapan buat anak-anak OKU, dia tidak pernah berkecil hati memandangkan apa yang dilakukan pada awalnya demi kebaikan Iki, selain mahu berkongsi manfaat bersama mereka yang memerlukan.

Apa yang menggembirakan, sejak mula serius menghasilkan peralatan buat anak-anak istimewa itu, ramai pakar perubatan menghubunginya untuk mendapatkan maklumat lanjut, malah meminta dia membekalkan keperluan berkenaan kepada pesakit dan hospital.

“Pelanggan yang membeli produk yang saya jual biasanya akan memakai atau membawa peralatan ketika mendapatkan rawatan. Dari situ doktor akan bertanya dan mereka akan memberitahu. Biasanya selepas itu pasti ada doktor dan pesakit akan menghubungi saya.

“Saya juga pernah dijemput untuk memberi ceramah, selain diberi peluang membuka gerai pameran produk-produk yang telah dihasilkan bagi memudahkan ibu bapa mendapatkan barangan yang diperlukan,” ujarnya.

Memahami bukan semua ibu bapa yang mempunyai anak OKU berkemampuan, Nor Fazilawati turut membuka ruang untuk masyarakat membantu golongan berkenaan dengan mewujudkan kaedah wakaf kerusi OKU dengan mengumpul dana di laman Cutie Pie.

“Biasanya kita akan serahkan kerusi itu pada mereka yang memerlukan dengan syarat apabila anak-anak OKU itu tidak menggunakannya lagi, kerusi sokongan itu harus disedekahkan kepada orang lain yang memerlukan atau diberi kepada hospital tanpa bayaran,” jelasnya.

  •  Hampir keseluruhan idea produk yang dihasilkan diperoleh daripada keperluan Iki sendiri
  •  Daripada terlantar, kini Iki boleh menunggang kuda dan mengayuh basikal
  •  Pernah membawa Iki ke pulau bagi memberi pendedahan kepadanya
  •  Cutie Pie juga menjual barangan terpakai import untuk kanak-kanak OKU

Iki bukan beban, dia pembuka rezeki kami

Jika ada yang berasakan anak OKU membebankan, berbeza pula buat, Nor Fazilawati apabila mengakui kejayaannya dalam dunia perniagaan adalah hasil inspirasi daripada anak istimewa itu.

Akui wanita asal Johor itu, Iki dilahirkan normal sehinggalah tumbesarannya lewat dikesan ketika berusia setahun lebih apabila masih tidak boleh duduk.

Sejak itu, Iki hanya terbaring sehingga umurnya lima tahun dan disahkan kategori terlantar dan harapan untuk kembali normal amat tipis.

Tidak mahu berputus asa, suaminya mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi menjaga Iki sepenuh masa.

Pada usianya tiga hingga enam tahun, Iki dihantar ke sekolah khas. Namun percaya bahawa pengajaran terhadap anak OKU akan lebih berkesan jika dilakukan sendiri oleh ibu bapanya, membuatkan Nor Fazilawati mengambil keputusan berhenti kerja dan memfokuskan pada Iki dan perniagaannya.

“Ketika itu duit kami amat terhad, jadi saya perlu kerja. Pada masa yang sama, kami menjaga keperluan Iki kerana rawatan fisioterapi di hospital sahaja tidak cukup untuknya, jadi kami perlu sediakan latihan dan alat bantu lain untuk Iki berlatih menguatkan ototnya.

“Setiap hari sebaik pulang kerja, saya akan menumpukan kerja-kerja menyiapkan alat bantuan OKU yang ditempah terutama kerja-kerja menjahit sehingga masuk waktu subuh. Duit yang diperoleh hasil jualan barangan tersebut menjadi duit tambahan untuk kami besarkan Iki.

“Yakin dengan rezeki yang diperoleh, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuhnya pada Iki. Alhamdulillah, kini dia boleh menunggang basikal dan duduk seperti kanak-kanak lain,” jelasnya.

 

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan