“Saya tidak pernah berhenti percaya bahawa semua bangsa di Tanah Nanyang (gelaran yang diberikan oleh pendatang dari China untuk Malaya dan negara Asia Tenggara yang lain) boleh hidup harmoni. Di sini tanah air saya, tanah air kamu semua,” kata beliau.

Dengan kostum tradisional opera Cina, Mei Fen begitu bersemangat melakonkan watak Yue Feng untuk persembahan teater bertajuk Tanah Akhirku. Setiap dialog yang disampaikan menyentuh perasaan mereka yang menyaksikan persembahan yang berlangsung di Panggung Eksperimen, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kesungguhan Mei Fen, 31, menjiwai watak utama iaitu gadis dari Tanah Besar China yang merantau ke Tanah Melayu itu, membuatkan para penonton begitu kagum dan teruja menyaksikan persembahan Penilaian Akhir Tahun 2018 (Peta 2018).

Menurut Mei Fen, beliau turut bertanggungjawab menjadi pengolah cerita asal yang berkisarkan tentang penghijrahan awal masyarakat Cina ke Tanah Melayu ketika zaman penjajahan British.

Jelas beliau, naskhah yang terhasil bersama-sama dengan Xavier Fong dan penulis skrip, Siti Jasmina Ibrahim itu adalah sebahagian daripada kisah hidupnya yang menuntut di Aswara yang turut berlatarbelakangkan masyarakat berbilang kaum.

“Sudah lama saya memendam hasrat untuk menyampaikan mesej keharmonian pelbagai kaum di negara ini iaitu sejak saya diterima masuk ke Aswara untuk mempelajari seni lakonan.

“Persekitaran majmuk yang ada di kampus Aswara mengajar saya erti perpaduan. Semua pelajar berbilang kaum dapat hidup secara harmoni yang mana ia sudah jarang kelihatan pada masyarakat zaman sekarang,” katanya.

Tanah Akhirku mengisahkan perjalanan hidup Yue Feng, seorang gadis yang berhijrah ke Tanah Melayu akibat perang saudara di China bersama adik lelakinya, Da Hai untuk memulakan hidup baru. 
Mereka kemudiannya bekerja di lombong bijih timah yang dikuasai kumpulan kongsi gelap. Berlaku pergolakan antara pembesar istana, pihak British dan pengusaha lombong itu.

Meskipun berlaku pertelingkahan, Yue Feng sudah semakin jatuh cinta dengan Tanah Melayu yang digelar ‘Nanyang’ dalam kalangan pendatang Cina ketika itu dan bertekad mahu bertapak di tanah tempat beliau berpijak yang dianggap sebagai tanah airnya.

Pada masa sama juga, Yue Feng jatuh cinta dengan seorang pembesar Melayu, Tengku Purnama.

“Oleh kerana teater ini berkisarkan masyarakat zaman 1880-an iaitu ketika penjajahan British serta kedatangan pendatang Cina dan India secara besar-besaran untuk bekerja di lombong bijih timah dan sektor peladangan, jadi kajian sejarah perlu dilakukan secara teliti terutama dari segi bahasa, pakaian, hiasan pentas serta gerak-geri.

“Bagi memastikan penulisan skrip serta lakonan dapat memberikan penonton merasai suasana sebenar zaman itu, kami melakukan pelbagai kajian sejarah termasuk mendapat khidmat nasihat daripada pakar sejarah, rujukan perpustakaan serta menonton filem serta drama yang berkisarkan latar belakang yang sama,” katanya.

Kata Mei Fen, meskipun mengambil latar masa sekitar tahun 1880-an, isu yang yang ditampilkan dalam Tanah Akhirku sebenarnya sangat dekat dan relevan dengan keadaan semasa masyarakat kini.

“Apa yang kami cuba sampaikan ialah, kita sebagai rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama mampu hidup secara harmoni dan tanpa diskriminasi antara satu sama lain,” katanya.

Mengimbau kembali tempoh empat tahun lalu, Mei Fen tidak menyangka penglibatan sulung beliau dalam pementasan teater Takhta 3 Ratu dengan watak Puteri Hang Li Po bagi menggantikan Dr Soo Wincci di Istana Budaya, Kuala Lumpur telah mengubah hala tujunya.

Peluang keemasan itu ibarat memberi sinar harapan buat Mei Fen untuk menggilap minatnya dalam bidang lakonan.

Mei Fen berkata, selepas kejayaan teater Takhta 3 Ratu, beliau sekali lagi diberi kepercayaan dalam pementasan Zombie La La La yang kemudiannya mendorong beliau untuk mendalami ilmu lakonan dan teater.

“Selepas pementasan Zombie La La La, kru produksi mengesyorkan saya untuk mempelajari seni teater dan selepas mendapat sokongan daripada Abang Jo (Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani), saya berjaya mendapat tawaran untuk mengikuti pengajian Sarjana Muda Teater di Aswara pada tahun 2015.

Meskipun Mei Fen pelajar tunggal Cina di Fakulti Teater, beliau tidak berasa terpinggir malah turut berasa ‘disayangi’ rakan sekelasnya yang kebanyakannya pelajar Melayu.

“Meskipun dalam kalangan rakan sekelas, saya adalah pelajar ‘tertua’ namun saya tidak berasa sedemikian kerana saya berasa ‘muda’ bila bersama-sama dengan mereka.

“Mereka tahu saya kurang fasih berbahasa Melayu dan agak pelat dalam pertuturan, jadi mereka sangat membantu saya mengukuhkan sebutan saya dan membaiki tatabahasa terutama dalam tugasan kumpulan,” katanya sambil ketawa.

Bak kata pepatah: Tak kenal maka tak cinta, persekitaran majmuk yang harmoni menyebabkan Mei Fen semakin jatuh cinta terhadap tempat beliau menuntut ilmu itu.

“Dahulunya, saya tidak fasih berbahasa Melayu menyebabkan saya tidak mahu bergaul dengan rakan-rakan berbangsa lain, namun perspektif saya berubah setelah menuntut di Aswara.

“Kehidupan kampus, selain membantu saya menguasai bahasa Melayu, saya turut belajar berpuasa melalui rakan sebilik ketika bulan Ramadan dan makan menggunakan tangan. Pengalaman itu sangat unik dan menyeronokkan.

“Apabila kita bergaul dengan rakan berbangsa lain, kita bukan sahaja mempelajari bahasa mereka malah budaya dan agama juga selain dapat mewujudkan rasa saling hormat-menghormati,” katanya.

Justeru, terlintas pada hati Mei Fen untuk mengabdikan kisah kehidupannya ketika menuntut di Aswara dengan menghasilkan naskah Tanah Akhirku.

Mei Fen menganggap pengalamannya menuntut di Aswara sama seperti perjalanan watak Puteri Hang Li Po dari China ke Tanah Melayu yang masih melekat pada jiwanya.

“Puteri Hang Li Po pada mulanya tak boleh berbahasa Melayu, namun akhirnya bertapak di Tanah Melayu dan berjaya menyesuaikan dirinya dengan masyarakat dan persekitarannya, perjalanan itu sama seperti saya.” katanya.

Meskipun pementasan Tanah Akhirku pada awalnya hanya bagi melengkapkan Peta 2018, Mei Fen tidak menyangka hasilnya sangat membanggakan apabila mendapat ‘lampu hijau’ untuk dipentaskan di Istana Budaya pada bulan September nanti.

“Saya sangat terharu kerana tidak menyangka Abang Jo (Mohamed Juhari) sendiri menawarkan untuk dipentaskan di Istana Budaya. Ini adalah satu pengiktirafan bermakna buat saya dan seluruh produksi teater itu.

“Teater itu bakal diangkat menjadi salah sebuah pementasan sempena kemerdekaan dan diharapkan mesej perpaduan kami akan disampaikan secara lebih meluas,” katanya. - BERNAMA