Elia Shafika Mohd. Shafiee menjadikan bapanya sebagai idola yang tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun.

Gadis kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, walaupun dia mampu mengembangkan sayap dalam bidang yang dipelajari, namun dia memutuskan untuk bekerja di syarikat milik bapanya demi meraih ilmu yang lebih mendalam mengenai perniagaan.

“Bapa saya menjalankan perniagaan dalam industri penyelenggaraan. Saya banyak menimba pengalaman berharga sepanjang bekerja di syarikat milik bapa.

“Perkara utama, saya dilatih oleh bapa untuk menguruskan syarikat dengan baik, kemudian selok-belok industri,” katanya kepada S2.

Menurut Elia Shafika yang merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik, sesiapa juga boleh menjadi ahli perniagaan tetapi bukan semua mampu menguruskan perniagaan dengan baik dan berjaya.

Oleh kerana itu, ilmu pengetahuan dan pengalaman daripada mereka yang mahir dan pakar menjadi keutamaan buat Elia Shafika.

“Bapa mengharapkan saya menguruskan syarikat ini kelak,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, dia turut menyimpan impian untuk membuka sebuah butik selepas berjaya menguruskan syarikat bapanya.

Selain meminati bidang perniagaan, Elia Shafika juga gemar bermain alat muzik, seperti bapanya.

“Saya gemar bermain gitar bass sejak sekolah menengah.

“Bapa saya merupakan pengumpul alat muzik elektrik seperti gitar bass.

“Jadi, minat saya ini berputik dari situ,” katanya.

 

Elia Shafika Mohd. Shafiee
Umur: 24 tahun
Asal : Kuala Lumpur
Hobi : Bersolek, bermain alat muzik
IG: eliashafika