Kali ini dia menceburkan diri dalam bidang hiasan dalaman.

Baginya, jatuh bangun dalam dunia perniagaan adalah lumrah, tetapi tidak pernah sekalipun dia menoleh ke belakang bahkan berusaha untuk menguruskannya dengan baik serta mencari ruang membaiki diri.

Empat tahun bergelar ahli perniagaan, Shahir berjaya membuka dua buah kedai komputer di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur.

Sejak itu dia sedar dan yakin bahawa ‘jiwa’ perniagaannya sudah ada dan bersedia untuk mencuba sesuatu yang baharu bagi mencabar potensi diri selain meluaskan empayar perniagaan.

Pada 2014, berlaku rusuhan di Plaza Low Yat yang melibatkan pergaduhan kaum. Meskipun tidak terlibat, keadaan tersebut membuatkan dia tidak selesa untuk terus berniaga di situ dan merasakan mungkin sudah tiba masa untuk mencuba perniagaan lain yang telah difikirkan sebelum ini.

“Saya memilih perniagaan perabot memandangkan bapa saudara saya adalah pembuat perabot. Jadi, saya bekerjasama dengan syarikatnya, FS Design Furniture di Hulu Langat, Selangor.

“Ramai yang hairan kenapa begitu jauh saya lari bidang, namun saya melihat ke hadapan. Saya sedar perniagaan perabot mempunyai peluang besar berkembang.

“Saya mahu menggunakan kesempatan yang ada untuk membekalkan perabot tempahan khas kepada pelanggan tanpa perlu mencari pengilang dan tukang kayu yang lain.

“Syukur, pengalaman sebelum ini banyak mengajar saya tentang urusan jual beli, jadi saya menggunakan ilmu-ilmu perniagaan tersebut untuk saya menjana keuntungan.

“Selain orang perseorangan, saya juga membekalkan perabot kepada restoran, butik, kedai buku, dan pusat hiburan dan permainan keluarga,” katanya ketika ditemui di bilik pameran Tuahwood & Group di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Shahir turut mengambil masa empat tahun membina jenama dan sekali lagi dia membuat keputusan besar untuk meluaskan lagi rangkaian perniagaan perabotnya dengan bekerjasama dengan syarikat-syarikat lain berkaitan dengan hiasan dalaman.

Antaranya, Team Buruh Kasar (kontraktor), Meant To Be Sent (pemasangan papan tanda besar) dan Quimotion Studio (hiasan dalaman).

Ujarnya, kebanyakan pelanggan sebelum ini biasanya datang kepadanya tanpa sebarang idea mengenai hiasan dalaman, konsep rekaan, malah ada yang bertanya tentang pengubahsuaian rumah meskipun hanyalah menjual perabot.

“Biasanya, saya ada cadangkan kepada mereka beberapa syarikat yang boleh membantu. Dari situ kami mula bekerjasama dan saya melihat kerjasama ini perlu dilakukan secara rasmi kerana lebih memudahkan pelanggan.

“Awal tahun ini, kami mula beroperasi bersama-sama dengan membuka sebuah bilik pameran, iaitu Tuahwood & Group.

“Kami adalah pusat sehenti yang menghubungkan pelanggan dengan kerja-kerja rekaan rumah seperti membekalkan perabot, perunding hiasan dalaman, pengubahsuaian rumah, pemasangan papan tanda dan kejuruteraan elektrik,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu.

Dari pihak Tuahwood pula, dia tidak lagi memfokuskan pada perabot tempahan khas dan meluaskan lagi sektor perniagaan dengan menjual perabot siap.

Mempunyai signatur tersendiri dalam pembuatan perabot iaitu menggabungkan elemen kayu nyatoh dan besi.

Ini kerana, Shahir mahu mengekalkan rekaan industri kontemporari pada setiap perabot yang kian popular dalam kalangan peminat hiasan dalaman.

Selain menyediakan perabot yang mempunyai pelbagai fungsi sebagai nilai tambah, misalnya, kerusi panjang yang boleh digunakan sebagai meja kopi, Shahir juga mahu pelanggan rasa berbaloi dengan wang yang dibelanjakan.

“Kami turut mendapat sokongan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) yang membantu memperkenal kami dengan penganjur pameran-pameran perabot besar tempatan dan antarabangsa. Sedikit sebanyak usaha itu menaikkan lagi jenama ini.

“Kami juga berharap dengan penubuhan Tuahwood & Group, kami dapat mendidik pengguna tentang hiasan dalaman melalui khidmat rundingan dan ini juga dapat mengelakkan mereka ditipu terutamanya dalam perkara berkaitan bajet,” katanya.