Pesanan ini tidak pernah luput daripada ingatan Datin Dr. Hasnorliza Abu Hassan, 50, pengasas ADLA (Penasihat, Pembangunan, Pembelajaran dan Pencapaian) Group Sdn Bhd, boleh dianggap sebagai wanita yang sangat serba boleh.

Sebagai usahawan, pengarang, penceramah, mentor dan ibu kepada enam orang anak, beliau yang lebih dikenali sebagai Dr. Leez, sentiasa bersemangat apabila diajak bercerita tentang perkongsian ilmu.

Anak kedua daripada lima beradik kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Puan Seri Wan Noor Daud ini, mahu berkongsi ilmu bagi meningkatkan keyakinan diri melalui pendekatan keseimbangan kehidupan dalam melakukan apa sahaja yang diminati.

Menubuhkan ADLA pada 2016, ia adalah satu-satunya institusi latihan di negara ini yang berkaitan dengan keseimbangan pekerjaan dan kehidupan.

Bertemu dengan Dr. Leez di pejabatnya di Ampang, Selangor baru-baru ini, wanita bersemangat kental itu berkata, falsafah keseimbangan pekerjaan dan kehidupan yang diwujudkan oleh ADLA dikukuhkan dengan lima prinsip utama iaitu keimanan, keluarga, kewangan dan bisnes, serta komuniti dan teman-teman.

Minat utamanya ialah bagi membantu usahawan mendalami ilmu dan kemahiran untuk lebih berjaya bukan sahaja dalam perniagaan bahkan kehidupan secara keseluruhan.

Ia bermula setelah dia berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengurusan Perniagaan dari Warnborough College Ireland, United Kingdom selain memiliki Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Perniagaan dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan dari California State University, Sacramento, Amerika Syarikat.

Beliau telah memulakan banyak siri program profesional yang disediakan khusus bagi golongan usahawan, kakitangan organisasi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), media, lepasan ijazah dan orang ramai.

Memiliki lebih 20 tahun pengalaman dalam perkembangan pembangunan dan keusahawanan, Dr. Leez sendiri merupakan contoh usahawan berjaya dan memiliki cabang perniagaan lain, seperti dobi dan fesyen.

Isteri kepada Datuk AR Md. Ariffin Mahmud, 53, itu berkata, seseorang wanita yang bekerjaya mempunyai banyak cabang kejayaan iaitu sebagai isteri, ibu, usahawan, individu dan sebagainya.

“Saya memilih usahawan kerana saya melihat ada fleksibiliti dalam pengurusan masa. Anak-anak pun sudah besar, yang sulung berusia 25 tahun dan bongsu 12 tahun. Kesemua mereka kecuali bongsu sudah melanjutkan pelajaran dan ada yang tinggal di asrama. Tinggal anak bongsu yang masih di rumah.

“Menjadi usahawan bukan semata-mata hendak kejar duit. Sebab itu, saya lihat kadang-kadang usahawan ini terlupa mengenai penambah baik diri.

“Sebab itu, saya membuat kursus yang memfokuskan pada pengurusan masa dan program ini terbuka kepada semua sama ada wanita dan lelaki.

“Ilmu itu sangat penting. Setiap orang perlu peka pada peredaran zaman dan menerima kenyataan. Saya sendiri jika hendak mengajar orang mesti menjadi contoh yang baik kepada mereka, menceritakan pengalaman saya dan ini akan menjadi lebih berkesan daripada berpandukan teori semata-mata.

“Saya melihat terdapat orang yang tidak mahu langsung mengikuti atau tidak percaya dengan ceramah kerana menganggap perniagaannya telah berjaya.

“Bagaimanapun, kita boleh mengetahui kekurangan mereka apabila melihat gaya mereka bercakap atau berkomunikasi dengan pekerja,” katanya.

Dr. Leez juga percaya, setiap wanita perlu mempunyai kerjaya kerana dengan cara itu mereka boleh mengatasi banyak masalah seperti rendah diri dan stres.

Sayangnya, apabila berdepan masalah seperti tiada orang menjaga anak-anak dan sebagainya, wanita kerap memilih berhenti kerja, sedangkan mereka memiliki kelulusan dan kemahiran tinggi.

Ini merugikan tetapi belum terlambat untuk mengubah keadaan ini. Mereka boleh membuka kunci potensi diri dengan melakukan pekerjaan yang mereka minati dan jangan sekat kemampuan diri.

Berjaya tanpa abai suami, rumah tangga

BERJAYA dalam perniagaan dan seorang yang sangat sibuk bukan bermakna Dr. Leez mengetepikan suami, keluarga dan anak-anak.

Suami tidak pernah menghalangnya dalam perniagaan. Apabila berada di rumah, fokus utamanya adalah tanggungjawabnya sebagai isteri.

“Walau hendak ke mana pun seperti ke majlis saya tetap akan meminta kebenarannya. Sebagai ketua rumah, saya mesti menghormati suami.

“Saya suka memasak. Setiap hari saya mesti memasak dan akan bertanya suami apa yang dia hendak makan.

“Dalam seminggu, dua atau tiga kali saya akan pergi beriadah bersama suami. Dengan cara ini saya mendapat masa yang berkualiti, berdua bersama suami, berbual atau berbincang,” ujarnya.

Dr. Leez menambah, sebagai wanita, banyak peranan yang perlu dimainkan, iaitu sebagai ibu, isteri dan majikan.

“Oleh itu, seseorang itu mesti tahu batasan dan utamakan apa yang perlu diutamakan. Sebagai wanita yang tahu sasaran, kita tidak akan tersasar,” katanya mengakhiri bicara.

Anugerah diterima

1. Anugerah Keusahawanan dan Pengurusan Binary University College 2018.

2. Anugerah Wanita Ikon
 Malaysia 2018 dari 
 Business Excellence & Research Group (BERG) 2018.

3. Penerima Ikon Usahawan Memperkasa Wanita (Anugerah Personaliti Industri dan Keusahawan 2018)

4. Penerima Anugerah
 CSR Malaysia 2017-2018
 - sebagai Pengasas ADLA
 Group Sdn Bhd melalui #KempenSpreadLove.