Istimewa kali ini, Avon Home memperkenal koleksi perhiasan kediaman mempesona, Lilia Rosa yang ditatarias secara eksklusif hasil kolaborasi bersama pereka tersohor, Datuk Rizalman Ibrahim.

Lilia Rosa mengetengahkan konsep Inggeris kontemporari dengan gabungan motif flora moden Mawar Galicca, Lavender, Lilac, Lili dan dedaunan segar serta rona latar pastel yang menenangkan.

Hiasan kediaman komprehensif itu merangkumi perhiasan linen rumah, kamar tidur serta barangan pinggan mangkuk dan hidangan yang menyuntik elemen klasik dengan konsep flora Inggeris.

Menurut Pengurus Kategori Avon Home, Arlina Amdan, pemilihan Rizalman sebagai rakan kolaborasi amat bertepatan memandangkan pereka tersohor yang telah bertapak selama 25 tahun dalam industri fesyen, kini telah melebarkan sayap ke dunia hiasan dalaman.

Katanya, sentuhan eksklusif Rizalman bukan sahaja mengikut trend, malah menyuntik aura elegan setiap kali menata rias kediaman selebriti dan personaliti terkenal.

“Sama seperti busana yang direka, idea dan sentuhan Rizalman menjadi impian setiap pemilik kediaman untuk ditatarias.

“Justeru, kita percaya kolaborasi Avon Home ini memberi suntikan segar buat dekorasi kediaman sempena Aidilfitri ini,” katanya.

Bagi Rizalman, kolaborasi bersama Avon dalam menatarias kediaman merupakan kerjasama yang amat dinanti-nantikan.

Katanya, Lilia Rosa adalah koleksi sempurna yang menyerlahkan gaya dan keanggunan.

“Tahun 2017 menyaksikan corak flora sebagai trend dekorasi rumah pilihan.

“Justeru, motif bunga-bungaan Inggeris digubah dengan kreatif dan diterapkan dalam aksesori linen, perhiasan lembut dan set pinggan mangkuk bagi mewujudkan keharmonian eksklusif, sekali gus menyuntik ciri elegan pada kediaman,” jelasnya.

Rangkaian linen Lilia Rosa menggabungkan fabrik poliester dan organza bercetak yang berkualiti, manakala barangan linen kamar tidur menampilkan tiga saiz katil dengan corak berbeza, iaitu super single, queen dan king yang diperbuat daripada fabrik serat mikro yang selesa.

Bagi yang inginkan hidangan nampak cantik, gandingan pinggan mangkuk daripada kaca opal yang menawan serta versatil dalam rona pastel segar dengan warna putih sebagai latar, mungkin pilihan sesuai.