Berpeluang bersua bicara dengan pelukis handalan ini, banyak cerita yang dikongsi bersama. Baginya, setiap lukisan mempunyai cerita sendiri namun tafsiran berbeza mengikut pemahaman individu.

Bukan pertama kali Hamir mengadakan pameran solonya, namun kali ini dia tampil berbeza. Sering kali dicop sebagai pelukis ‘besar’, Hamir mahu menampilkan sisi ‘kecil’ dirinya.

Menerusi pameran solo Hamir Soib di Segaris Art Centre, Publika, pelukis ini menampilkan lukisan yang bersaiz kecil tidak seperti kebiasaannya. Itu adalah tanda kebebasan dalam pameran terkininya.

“Selalu kalau orang dengar Hamir, mereka akan fikir ‘besar’. Maksudnya, lukisan yang bersaiz besar. Tapi kali ini, saya mahu menonjolkan sisi berbeza yang membawa maksud kebebasan.

“Jadi dalam lukisan-lukisan kecil ini, inspirasinya besar. Setiap orang boleh mentafsirkan mengikut pemahaman sendiri, tetapi bagi saya setiap lukisan ini ada cerita peribadinya sendiri,” katanya.

Berlangsung bermula 25 April lalu sehingga 19 May depan, pameran Hamir Soib menampilkan lebih 100 lukisan hasil tangan seni pelukis handalan tersebut yang dilukis sekitar 2005 sehingga 2017.

Berpengalaman hampir 30 tahun dalam seni lukisan, Hamir sememangnya bukan calang-calang pelukis. Hasil kerjanya sering kali mendapat tempat di hati pengumpul dan penggemar lukisan berkualiti tinggi.

Dia juga acap kali mengadakan pameran sama ada solo atau berkumpulan di dalam dan luar negara. Namun, dia kekal berjiwa hamba biarpun namanya kini hebat pada mata pemain industri seni itu.

“Kadang-kadang ada yang salah tafsir lukisan saya dan mula mengaitkannya dengan politik. Tapi sebenarnya, kita masing-masing ada cerita dan saya suka untuk menggambarkannya dengan lukisan.

“Sebagai contoh, Klinik Dr. Hamir yang begitu signifikan kepada saya. Dua bulan menjaga ibu yang terlantar di hospital memberi saya inspirasi untuk hadir dengan lukisan tersebut.

“Bagi saya seni itu bukan hanya satu lukisan tetapi objek yang membawa cerita masing-masing. Pengalaman hidup mengajar kita dan saya ’hidupkan’ ia dalam bentuk lukisan,” katanya.

Bagi solo keempatnya ini, dia juga ingin memberitahu secara sinikal dia kini bergerak sendiri. Dia juga sepertinya mahu menunjukkan kehidupan baharunya kini bermula.

“Sebelum ini saya bekerja secara pasukan dan kali ini saya tampil solo dengan lebih bebas. Lukisan adalah satu interpretasi pelukis dan saya mahu orang lihat kebebasan dalam karya-karya yang dipamerkan,” katanya.