Pengerusi Jawatankuasa Pe­lancongan, Belia, Sukan, Kebudayaan dan Kesenian negeri, Datuk Abdul Jamil Saad berkata, ini termasuk memberi peluang kepada mereka berniaga secara kecil-kecilan untuk menambah pendapatan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena berkata, cadangan itu dikemukakan berdasarkan sambutan menggalakkan daripada anak-anak muda dalam Program Teh Tarik Bersama ADUN Sena di situ, baru-baru ini.

“Kita mengadakan program ini untuk mendekati anak-anak muda di negeri ini dan ternyata mendapat sambutan kira-kira 600 orang yang melakukan pelbagai aktiviti seperti PlayStation 4 (PS4) dan perlumbaan kereta mainan Hot Wheels.

“Oleh sebab itu, kita mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) menaik taraf kawasan di sini dengan kemudahan tertentu sebagai tempat anak-anak muda berkumpul.

“Saya fikir di situ (Dataran Sena) bersesuaian kerana terdapat­nya kawasan yang sesuai iaitu lot meletak kenderaan yang kosong selepas waktu pejabat, di samping terdapat hiburan muzik jalanan atau buskers dari sebuah kedai makanan barat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan mak­lum balas, hampir 98 peratus anak-anak muda di negeri ini berusia 25 tahun ke atas, menyam­but baik program seumpama itu, malah meminta agar diadakan secara tetap kerana memenuhi cita rasa mereka.

Katanya, jika diwujudkan, golongan berkenaan juga bukan sahaja boleh berhimpun dan melakukan aktiviti sihat, tetapi menambah pendapatan dengan berniaga secara sambilan selepas waktu pejabat.