Jika gadis-gadis lain obses mengikuti trend fesyen terkini, berbeza bagi si pemilik nama, Syaza Adilah Mohd. Roslan yang sibuk merancang gunung mana yang bakal ditawan untuk memenuhi sasaran pendakian 50 gunung pada tahun ini.

“Jika segelintir individu memilih melancong ke luar negara sebagai satu kepuasan hidup, mendaki gunung juga ada kepuasan tersendiri.

“Ada yang cakap, kenapa nak berpenat lelah dan bermandikan peluh semata-mata untuk berada sekejap di puncak?

“Ya, memang betul mana-mana pendakian akan menguji mental dan fizikal tetapi apabila menyelusuri denai, berdepan dengan trek yang curam dengan cuaca tidak menentu dan akhirnya berjaya sampai ke puncak gunung, sekelip mata penat itu hilang setelah melihat pemandangan yang menarik.

“Tidak semua mampu menikmati keindahan tersebut kecuali mereka yang sanggup mencabar diri menggunakan kemampuan kudrat yang ada, itulah sebenarnya kepuasan mendaki gunung,” katanya kepada Mega Rona dalam sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Merupakan anak ketiga daripada lima adik-beradik, Syaza Adilah berkata, minatnya itu pernah dihalang ibunya kerana bimbang akan keselamatan diri, memandang dia satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. Namun selepas dipujuk berkali-kali, ibunya mengalah malah kini keluarga banyak memberi galakan dan semangat untuk dia melakukan aktiviti yang disukainya itu.

Berusia 26 tahun, gadis ini menganggap aktiviti mendaki gunung sebagai pengalaman yang cukup berharga kerana bukan sahaja dapat melihat keindahan alam ciptaan Tuhan malah mempelajari survival hidup dalam hutan yang boleh diaplikasi dalam kehidupan.

Sepanjang pendakian, bermacam-macam halangan dan rintangan akan ditempuh yang akan memberi kesan dari segi emosi, jadi dia perlu bijak mengawal emosi agar tidak mengganggu pendakian.

Menurutnya, walaupun tidak mengenali semua ahli yang mengikuti pendakian dalam satu-satu trip, namun semangat setiakawan perlu diterapkan kerana sepanjang pendakian, seseorang itu tidak hanya bertanggungjawab terhadap diri sendiri tetapi perlu mengambil berat keselamatan rakan-rakan.

Walaupun ada yang mengatakan aktiviti mendaki hanya satu rekreasi, namun dia menjadikan aktiviti tersebut sebagai medium dirinya untuk menambah ilmu pengetahuan mengenai hutan.

“Dalam setiap pendakian, banyak benda baharu yang saya tahu daripada malim gunung seperti bentuk jejak binatang, bentuk tahi, bunyi atau cakar haiwan supaya tidak bertembung dengan bintang buas atau berbahaya dalam laluan berkenaan.

“Disebabkan itu, setiap pendaki perlu tahu tentang trek kerana kalau sesat, tahu bagaimana nak patah balik.

“Saya rasa ilmu seperti ini sangat penting lebih-lebih lagi, aktiviti mendaki gunung sudah menjadi trend masa kini sebagai aktiviti kegemaran ramai, tetapi kebanyakannya tidak mempunyai ilmu asas dan beranggapan mendaki untuk suka-suka sahaja.

“Kurangnya ilmu pendakian menyebabkan banyak kes sesat terjadi ketika mendaki, belum lagi dikira kes-kes pendaki terlalu penat kerana tidak membuat persediaan yang rapi sebelum mendaki,” katanya yang sudah berjaya menawan 88 puncak gunung dalam dan luar negara.

Gemar mengikuti pendakian gunung-gunung baharu yang dibuka malim gunung untuk aktiviti mendaki, akuinya dia kecewa melihat gunung-gunung seperti Gunung Irau, Gunung Rajah, dan Gunung Yong Belar yang terletak di Pahang serta Gunung Korbu dan Gunung Yong Yap di Perak yang terkenal dalam kalangan pendaki semakin kotor.

Ini disebabkan tindakan segelintir pendaki yang tidak beretika dan tidak menjaga kebersihan sehingga sanggup membuang sampah dan bungkusan makanan tanpa rasa bersalah.

Syaza Adilah juga kurang senang melihat malim gunung mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan meletakkan caj yang tinggi untuk membawa pendaki sehingga kemasukan pendaki ke mana-mana gunung tidak lagi terhad, menyebabkan hutan dan laluan menjadi rosak.

“Pada pandangan saya, renjer hutan perlu memainkan peranan menjaga hutan negara supaya kekal terjaga dengan mengehadkan beberapa kumpulan pendaki untuk aktiviti pendakian secara bulanan.

“Mereka tidak boleh samakan gunung-gunung di Semenanjung Malaysia dengan Gunung Kinabalu yang memang dibangunkan untuk aktiviti pendakian. Walaupun pendaki perlu membayar kos yang tinggi antara RM700 hingga ke RM800, tetapi pendakian mereka terjaga oleh pihak pentadbiran pendakian gunung,” katanya.

Merancang untuk menulis sebuah buku yang menceritakan pengalamannya sepanjang mendaki gunung, dia yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam jurusan kewartawanan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) mahu catatan pendakiannya memberi inspirasi kepada gadis-gadis muda yang sentiasa meletakkan had terhadap kemampuan diri untuk mencuba sesuatu.

Syaza Adilah yang pernah mendaki Gunung Kinabalu sebanyak tiga kali, katanya, jika ada rezeki mahu ke Everest Base Camp (EBC) untuk melihat sendiri keindahan Gunung Everest.

Menurutnya, dia juga memasang misi untuk menawan 40 gunung di Banjaran Titiwangsa yang mengambil masa selama 20 hari untuk diselesaikan dan berharap impian tersebut dapat dilaksanakan.