Dengan fenomena dan gelaran ‘makcik bawang’ yang semakin menjadi-jadi sejak tahun 2017 yang lalu, terpanggil untuk saya berkongsi minggu ini mengenai istilah kegemaran netizen ketika ini.

Dikatakan merujuk kepada golongan wanita yang sering menyertai kenduri-kendara, sambil duduk beramai-ramai memotong bawang, mereka ini gemar bercerita dan mengumpat antara satu sama lain. Fanatik dengan drama cerita Melayu, mereka boleh menangis bercerita bab lakonan pelakon pujaan masing-masing sambil memotong bawang pada tangan.

Tidak kurang ada juga yang berpendapat, istilah ‘makcik bawang’ ini mula diperkenal di halaman Facebook Kisah Rumah Tangga, kerana kumpulan ini gemar berkongsikan perihal rumah tangga orang lain.

Semenjak itu, istilah ini semakin kerap digunakan dan mendapat hampir 7,000 tanda pagar #makcikbawang di Instagram.

Persepsi itu Realiti

Setiap saat, waktu , malah setiap hari (dalam kehidupan), orang ramai akan menentukan pandangan mereka terhadap anda berdasarkan tindakan dan tingkah laku anda , yang mereka perhatikan selama ini. Proses ini dinamakan satu persepsi atau penanggapan.

Walaupun anda tidak dapat mengawal pandangan orang ramai, tetapi anda mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas tindakan anda. Bertindak secara proaktif, dalam menguruskan tanggapan ini merupakan strategi utama untuk anda dikenali, mendapat kredit atas hasil usaha kerja anda dan yang paling penting kemajuan karier malah kejayaan perhubungan peribadi.

“Kita menilai sesebuah buku, berdasarkan kulit luaran mereka. Tidak dapat dielakkan kerana itulah yang sebenarnya berlaku,” kata Nicholas Rule, seorang Profesor Psikologi dari University of Toronto, Ontario, Kanada ini.

Tanggapan pertama, dalam erti kata lain, bukan sahaja pantas, tepat dan akan melekat lama pada minda seseorang.

Jika penampilan yang menarik, profesional, tidak keterlaluan sering dinilai pada pandangan pertama, begitu jugalah pakej peribadi seseorang di dalam media sosial. Selain status dan gambar yang dimuat naik, setiap pilihan kata-kata, gaya bahasa, intonasi menggambarkan kesihatan mental dan latar belakang si penulisnya secara tidak langsung.

Imej ‘makcik bawang’

Berapa ramai antara kita hari ini yang benar-benar mengambil tahu atau sedar akan kepentingan menjaga dan menguruskan imej peribadi, walaupun sekadar di media sosial?

Selain tujuan untuk menghiburkan diri, dengan alasan untuk ‘bersosial’ , setiap tindakan, luahan kata-kata, gambar yang dimuat naik juga pendapat masing-masing boleh menjerat diri sendiri jika tidak diuruskan dengan betul.

Tidak hairanlah, kita melihat semakin banyak tanda pagar diperkenal seperti #doayangbaikbaik yang kini mencecah lebih 176,000, #jangankecamsaya pula dengan 168,000 telah dimuat naik seolah-olah mengharapkan agar orang ramai seperti golongan ‘makcik-makcik bawang’ ini tidak mudah mengecam , memberi pandangan negatif kepada si penulisnya atau pemilik akaun profil.

Jujur dengan saya, inikah imej yang ingin kita tonjolkan sebagai seorang individu?

Adakah dengan mengecam, memuat naik pendapat yang negatif dapat menyelesaikan masalah mereka (pemilik akaun).

Jika diteliti dengan betul, isunya bukan tentang mereka (yang dikecam), tetapi hati individu yang gemar mengecam orang lain ini.

Sikap yang suka untuk mengambil tahu akan hal orang lain, bukan sahaja menunjukkan seorang individu yang busy body tetapi sebenarnya mereka tidak bahagia dengan kehidupan sendiri. Malah mereka mempunyai terlalu banyak masa terluang untuk melihat atau meninjau setiap aktiviti dalam kehidupan orang lain, sehingga layak untuk memberi pendapat yang dikatakan paling bernas ketika itu.

Pun begitu, setujukah dengan saya, istilah ‘makcik bawang’ ini tentunya tidak sesekali akan wujud, jika kita seorang individu yang matang dan bijak dalam menguruskan pandangan dan imej peribadi agar senantiasa dipandang positif.

Amalkan detoks media sosial

Biasa juga kita dengar dengan detoks tubuh badan. Kali ini, tidak salah rasanya jika kita cuba sesuatu yang baru dengan amalkan detoks media sosial.

Menulis daripada pengalaman peribadi, berikut adalah antara amalan detoks media sosial yang anda boleh mula praktikkan agar tidak terjebak ke dalam golongan ‘makcik bawang’ ini.

  1. Unsubscribe dan Unfollow – Lupakan dan tinggalkan sahaja kumpulan Facebook dan rakan-rakan yang tidak memberikan anda impak positif atau inspirasi dalam kehidupan.
  2. Tutup push notification – Sukar untuk dilakukan tetapi ia perlu agar kita tidak terlalu obses dengan perkembangan terkini selebriti mahupun Instafamous, atau individu dan kumpulan WhatsApp yang diikuti secara rapat.
  3. Jauhkan segala alat mudah alih dari katil sebelum tidur – Selain kajian mengatakan tidak baik untuk kesihatan, terutama penggunaan ketika di dalam bilik gelap, ia juga dapat mendisiplinkan diri agar tidak terlalu ketagih untuk memegang dan membaca perkembangan mahupun status terbaru rakan-rakan di media sosial.
  4. Rehat sehari dan katakan ‘TIDAK’ kepada semua akaun Facebook, Instagram mahupun Twitter – Percayalah, anda boleh lakukan. Sekadar untuk membuang masa lapang dengan membaca , tidak mengapa, tetapi cuba sesekali untuk tidak memberikan sebarang ‘like’ atau komen, mahupun memuat naik status untuk satu hari ini.