Namun, kedua-dua remaja berbakat Pulau Pinang, Mohammad Alif Amzar Mohd. Hashim, 17, dari Seberang Perai dan Kengo Lee, 17, dari Georgetown menjadikan cabaran tersebut sebagai pembakar semangat. Mereka merupakan pemain terbaik dalam program Siri Jelajah Klinik AirAsia-QPR yang diadakan di Pulau Pinang tahun lalu.

Selain dua anak muda dari Malaysia, enam pemenang lain turut menyertai latihan tersebut ialah Parin Bunyalakha, 16, dan Sathit Sisophakiri, 15, dari Thailand; Ahludz Dzikri Fikri, 15; Hamsa Medari Lestaluhu, 14, dan Muhammad Alfiqri, 16, (Indonesia) dan Li Te, 14, (China).

Sepanjang berada di London, lapan bakat muda itu didedahkan pelbagai kemahiran termasuk teknik kawalan bola, hantaran dan rembatan, kelas pemakanan dan aspek taktikal lain bagi meningkatkan kecekapan serta kemahiran di atas padang.

Selain berlatih bersama pelatih Akademi QPR, mereka diberi kesempatan beraksi dalam satu perlawanan persahabatan terdiri daripada dua pasukan campuran iaitu pelatih akademi dan pemenang siri jelajah tersebut.

Pada masa sama, mereka dibawa melihat pasukan utama, QPR berlatih di Padang Latihan QPR di Harlington dan menonton perlawanan Liga Kejuaraan Inggeris antara dua kelab yang memiliki kepentingan Malaysia, QPR dan Cardiff City di Loftus Road (stadium milik QPR).

Malah, mereka juga menerima beberapa set lengkap pakaian latihan QPR dan cenderamata, selain melawat beberapa tempat menarik di London seperti Big Ben, London Eye dan Stadium Wembley.

Tempoh seminggu berlatih di sana pasti bukan jangka masa yang boleh mengukur kemampuan mereka, namun peluang diberikan AirAsia dengan kerjasama QPR itu menjadi langkah permulaan kepada dua pemain muda itu untuk bergelar pemain profesional suatu hari nanti.

Pengalaman dikutip Mohammad Alif Amzar dan Kengo sepanjang seminggu berguru di London disimpan kemas dan dicatat dalam buku nota untuk dijadikan panduan, selain dikongsi bersama rakan lain nanti.

Bagi Mohammad Alif Amzar, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Perahu di Bukit Mertajam, perubahan diet serta cuaca sejuk merupakan cabaran utama yang perlu ditempuh itu.

Selain itu, fizikal kecil membuatkannya kurang berkeyakinan, namun dia ternyata mempunyai bakat bermain bola sepak, sekali gus menunjukkan kemampuan mengatasi pelatih akademi QPR yang lebih tinggi dan besar apabila menyumbat dua gol dalam perlawanan persahabatan.

“Suasana latihan di sini amat berbeza. Teknik hantaran, mencipta ruang serta cara membawa bola sangat berlainan dengan apa diamalkan di Malaysia. Corak hantaran mereka pantas dan saya berterima kasih atas peluang ini.

“Selain belajar teknik di padang, saya turut menyimpan jurnal merekodkan apa yang dimakan dan minum setiap hari, malah pukul berapa kami tidur dan bangun juga perlu dicatatkan bagi tujuan rujukan,” katanya yang bermain di posisi penyerang.

Mohammad Alif Amzar yang menyimpan impian menyarung jersi Harimau Malaysia suatu hari nanti berkata, biarpun hanya berpeluang berlatih selama seminggu, dia berjaya membetulkan beberapa kelemahan seperti sepakan, kepantasan dan hantaran.

Sementara itu, Kengo yang merupakan pelajar sebuah sekolah antarabangsa di Pulau Pinang turut sependapat dengan Mohammad Alif Amzar dalam mengharungi cabaran berlatih di Akademi QPR.

Peminat Arsenal dan bermain di posisi pertahanan itu menyimpan hasrat beraksi dalam pasukan Pulau Pinang suatu hari nanti menyifatkan cuaca sejuk sebagai cabaran utama sepanjang seminggu berlatih di sana.

Dia mengakui bukan perkara mudah mengikut rentak latihan diberikan kepada pelatih akademi tersebut yang bukan sahaja mempunyai susuk tubuh tinggi dan besar, malah mempunyai tahap stamina yang mengagumkan.

“Latihan yang diberikan bukan sahaja tertumpu dalam aspek teknikal dan taktikal, malah kami diberi latihan dari aspek psikologi sebelum perlawanan,” katanya sambil memaklumkan mereka turut dinasihatkan mengambil diet seimbang dan menjalani hidup sihat.

Kedua-dua remaja berbakat tersebut melahirkan penghargaan kepada AirAsia kerana memberi peluang sekali seumur hidup itu.