Ini kerana, hujan salji turun dengan lebatnya pada sebelah petang dan awal pagi membuatkan saya tidak lena tidur pada malam itu.

Namun begitu, keadaan salji itu tidak mematahkan semangat bagi mencipta sejarah kepada negara dalam pendakian Himalaya 2017 - Breaking Malaysia Records yang bakal diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records.

Tepat pukul 7 pagi 4 Mei lalu, dengan mengalas beg yang berisi sedikit pakaian, minuman, makanan serta peralatan kamera saya mula melangkah mengharungi salji dengan penuh berhati-hati meningalkan kawasan Chhukhung yang agak sunyi dan sejuk bersama Dawa Sherpa dan porter mendaki ke paras yang lebih tinggi iaitu ke Phokalde High Camp di paras 5,100 meter.

Sepanjang pendakian, saya terpaksa menggunakan seluruh pengalaman sebelum ini sama ada cara melangkah, mengawal pernafasan (bagi kestabilan oksigen dalam badan) dan sebagainya supaya tidak terkena serangan Atitude Mountain Signess (AMS).

Selepas mengharungi salji selama tujuh jam, entah berapa banyak kali kami bertiga berhenti kepenatan kerana pendakian ini penuh mencabar dan berhati-hati kerana terpaksa mandi salji selama dua jam sebelum tiba di Phokalde High Camp.

Bila sampai, saya berlindung seketika di tepi batu besar sementara Dawa Sherpa dan porter terus memasangkan khemah untuk kami berehat satu malam sebelum meneruskan pendakian ke puncak Kongma La Pass setinggi 5,500 meter dan puncak Phokalde setinggi 5,806 meter keesokan hari.

Keadaan yang amat sejuk sehingga mencapai -18o Celcius, selepas itu kami bertiga berehat dalam khemah dan berbincang mengenai pendakian keesokan hari kerana keadaan hujan salji yang berterusan ini semakin sukar untuk mendaki sambil mengunyah kerepek bawang putih dan serunding halia bagi memanaskan badan.

Pukul enam petang, kami ke tebing batu besar untuk memasak makanan dan minuman segera untuk makan malam dan selepas itu kembali ke khemah dan berehat menanti hari esok.

Alhamdulillah, bila bangun pagi suasana kelihatan cerah walaupun dipenuhi salji, semangat terus membara untuk meneruskan cabaran. Kami begerak melalui laluan yang penuh cabaran akhirnya tiba di puncak Kongma La Pass (5,550 meter) pukul 10 pagi. Saya terus bergambar dengan semua bendera dan poster yang dibawa.

Selepas itu, Dawa Sherpa mencuba trek yang dipenuhi salji untuk menuju ke puncak Phokalde (5,806 meter) tetapi kembali ke tempat saya berehat sambil menggeleng kepala dan katanya “terlalu bahaya, kalau solo nak pergi juga terpulanglah saya tak mau, saya tak mau mati di sini.” Saya termenung dan hati berkata - mampus kalau semua puncak begini.

Hampir setengah jam selepas itu, muncul seorang pendaki dari Sweden yang mendaki dari Lobuche dan kami bersembang. Dia yang berpengalaman 20 tahun itu pada mulanya yakin dia boleh sampai ke puncak, membuatkan saya jadi bersemangat. Selepas itu saya perhati sahaja ketika bergerak menuju ke puncak Phokalde itu.

Tetapi akhirnya, tidak sampai 10 minit dia kembali ke tempat rehat di puncak Kongma La Pass dan memberitahu tidak boleh mendaki sebab tak nampak trek. Bahaya jika tersilap langkah boleh mengundang maut.

Saya terpaksa akur, dan kami semua pun turun melalui trek yang dipenuhi salji sehinggalah tiba di glasier selama 4 jam. Selepas itu kami mendaki naik turun yang terasa menyiksakan diri sebelum tiba di Lobuche pukul 3 petang.

Saya berehat di lodge Lobuche pada paras 4,910 meter kerana terlalu penat dan terpaksa membayar sebanyak RP2 ribu (RM86) untuk caj telefon dan juga bateri kamera serta membeli kad WiFi RP600 (RM26) bagi 200MB untuk berhubung melalui WhatsApp. Mahu caj power bank pula RP 1 ribu (RM43) satu jam.

Keesokan harinya, tepat pukul 7 pagi, 6 Mei, saya, Dawa Sherpa dan porter bersama pendaki lain bergerak ke menuju Goraksep dan seterusnya terus mendaki ke Everest Base Camp setinggi 5,364 meter.

Kami bersama puluhan pendaki negara lain tiba di Everest Base Camp pukul 1.30 tengahari dan selepas merakamkan gambar dan berehat seketika, kami bergerak kembali Gorakshep keadaan mula berkabus.

Kami tiba di lodge Gorakshep pukul 4.45 petang dalam keadaan yang semakin sejuk sehingga mencapai -5o Celcius, nasib baik saya mengenakan pakaian yang sesuai ketika itu.

Tepat pukul 4 pagi keesokan hari, dengan berbekalkan air panas dan sedikit biskut, walaupun kesejukan yang melampau, saya bersama Dawa Sherpa dan pendaki lain mula bergerak ke puncak Gunung Khalapathar setinggi 5,550 meter yang merupakan puncak yang kelima dalam cabaran Himalaya 2017.

Kami tiba di puncak pukul 7 pagi kerana pendakian agak perlahan dan mungkin kerana terlalu penat sebelum ini. Selepas bergambar sambil menyaksikan keindahan alam ciptaan illahi pukul 7.45 pagi kami bergerak turun dan tiba di lodge pukul 9.30 pagi.

Selepas minum pagi, kami terus bergerak turun kembali ke Lobuche untuk berehat kerana keesokan hari kami akan bergerak ke Chola-La Pass yang merupakan puncak yang ke enam dan ke Gokyo RI setingi 5,357 meter iaitu puncak yang ketujuh.

  • Sambungan di minggu hadapan.