Aktiviti sukan ekstrem seperti flying fox, abseiling, jelajah gua dan merentas hutan yang ditawarkan di Gua Damai mampu mencabar perasaan gayat dan darah gemuruh selain trek se­mula jadi untuk aktiviti memanjat tebing.

Namun setelah mencubanya, pengunjung pasti tidak lagi ketar lutut ketika berhadapan dengan halangan yang perlu mencabar kebolehan diri sendiri.

Baru-baru ini, penulis dan beberapa rakan media dijemput mengunjungi lokasi yang terletak hanya kira-kira lima kilo­meter dari pusat bandar raya Kuala Lumpur itu bagi me­rasai sendiri pengalaman me­neroka empat daripada lima gua di kawasan ini antaranya Gua Anjing, Gua Ichibawa, Gua Cili Padi, Gua Fig Tree manakala Gua Kristal ditutup bagi orang awam.

Pengalaman itu sukar di­gambarkan dengan kata-kata memandangkan bentuk batu yang di dalam gua tersebut sangat unik dan cantik malah mempesonakan pengunjung.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Suliman Abd. Rahman berkata, pihaknya bercadang untuk membangunkan Lembah Damai de­ngan menyediakan pelbagai kemudahan awam bagi menarik lebih ramai pengunjung.

Beliau berkata, kawasan itu akan dibangunkan pada awal tahun hadapan namun, bergantung kepada kelulusan peruntukan yang disediakan.

Menurutnya, gua yang dibuka sejak tahun 90 an itu mempunyai daya tarikan warisan tersendiri menyebabkan ia dikenali oleh orang ramai.

“Setakat ini, sebanyak RM 1 juta diperuntukkan untuk membangunkan kawasan Gua Damai yang melibatkan dua fasa.

“Selain daripada MPS, dana tersebut juga turut disumbangkan oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri,” katanya selepas aktiviti eksplorasi selesai, di sini.