Walaupun masih mentah dalam industri, namun nama Bydalili tidak asing lagi bagi pengikut fesyen tanah air yang menggemari gaya yang melambangkan sisi kelembutan dan kewanitaan.

Pemiliknya, Dalili Azahari, 29, percaya sesuatu fesyen tidak semestinya hanya fashionable malah perlu memastikan keselesaan pelanggan ketika memakainya.

Justeru, beliau akan memastikan pemilihan kain atau kualiti kain adalah mengikut spesifikasi yang ditentukan.

“Saya akan memastikan ianya tidak panas untuk cuaca Malaysia dan juga tidak jarang sehingga memerlukan pelanggan menggunakan lapisan kain lain di dalam,” katanya.

Dalili yang berasal dari Langkawi, Kedah berkata, selain kelainan dan ke­tahanan material kain, sesuatu rekaan itu perlu versatile dan boleh di suai padan di kemudian hari.

Ketika bercerita mengenai koleksi Raya 2017, Dalili berkata, rekaannya meliputi dua koleksi iaitu eksklusif dan untuk pencinta minimalis dan batik.

Jelasnya, koleksi eksklusif tentunya menggunakan material lebih mewah dan ditambah dengan detail ma­nik yang ringkas bagi menambah kecantikan koleksi itu.

Sementara koleksi minimalis dan batik pula adalah trademark dan terlaris Bydalili setiap kali musim perayaan.

“Saya menggunakan material cotton yang senang dijaga, selesa, tetapi masih nampak unik. Setiap tahun koleksi batik untuk raya Bydalili memiliki kelainan dan kali ini bermain dengan warna pastel dan gelap,” ujarnya.

Tambahnya, koleksi Bydalili tidak akan mengulangi rekaan yang sama bagi memastikan pe­langgan memiliki koleksi yang segar dan eksklusif serta tidak bosan dengan gaya yang sama.

“Oleh itu, saya perlu mengambil tahu mengenai dunia fesyen. Setidak-tidak-nya saya tahu apa yang boleh digunakan (material) dan apa yang harus dielakkan. Justeru menghadiri pertunjukan fesyen merupakan tempat untuk belajar. Kita dapat tahu apa yang sedang trending dan gaya yang ba­nyak digunakan pereka fesyen lain.

“Terpulang sama ada mahu mengikut trend yang dilakukan pereka fesyen itu atau mahu mencuba sesuatu yang lain. Pertunjukan fesyen juga adalah tempat terbaik untuk berkenal­an dengan pereka fesyen yang lain, rakan-rakan media dan penggemar fesyen. Dari situ kita dapat bertukar-tukar idea,” ujarnya.

Dalili berharap pro­duknya mampu berdiri sama tinggi dengan nama-nama pereka fesyen terkenal tanah air, selain mendapat pendedahan yang lebih banyak serta lebih dikenali ramai.

Layari laman Instagram bydalili dan laman sesawang www.bydalili.com untuk me­lihat lebih banyak koleksi serta memiliki salah satu rekaannya.