Rasanya bukan sahaja enak berbanding burger biasa namun apa yang menarik ialah cara ia dibuat menjadi antara faktor tarikan kepada pelanggan.

Burger mini yang dihasilkan oleh Mohamad Rejab Abdullah, 23, di Pantai Remis dekat sini begitu popular sehingga pernah menerima tempahan mencecah 900 biji seminggu.

Menawarkan pelbagai rasa pi­lihan iaitu pati daging dan ayam, burger mini resipi Mohamad Rejab dibuat menggunakan roti berwarna-warni, iaitu merah, biru, hijau, kuning, ungu dan jingga bagi menggantikan roti biasa.

Mohamad Rejab berkata, perniagaannya itu bermula tahun lalu selepas dia sembuh daripada penyakit gastrik ulser peptic yang menyebabkannya dia terlantar beberapa bulan.

Katanya, setelah sembuh dari penyakit tersebut, atas bantuan dan sokongan keluarga terutama abang sulungnya yang memberi bantuan modal, dia membuka gerai menjual burger di hadapan rumah.

Tambah Mohamad Rejab, gerai yang dinamakan Ustaz Sweet Burger, mula beroperasi pada Julai tahun lalu dengan menjual burger biasa sebelum memper­kenalkan burger mini untuk memberi kelainan.

“Walaupun pembuatan burger mini agak rumit kerana bersaiz kecil tapi alhamdulillah, ia mendapat sambutan dan permintaan yang semakin tinggi daripada pelanggan,” katanya ketika ditemui di Jalan Pengkalan Bharu, Pantai Remis di sini, baru-baru ini.

Selain burger mini, dia turut menerima tempahan kek burger untuk majlis perkahwinan atau majlis meraikan sambutan hari lahir.

Menurutnya. kek burger warna-warni sesuai dijadikan hida­ngan istimewa untuk majlis seumpama itu kerana ia kelihatan begitu cantik, ceria dan unik.

“Jika sebelum ini orang selalu beli kek atau menyediakan pulut kuning untuk hidangan pada hari istimewa, namun kek burger warna-warni kini boleh menjadi alternatif untuk majlis seperti itu,” ujarnya.

Jelasnya, warna roti untuk kek boleh dipilih oleh pengantin sendiri mengikut tema majlis yang diinginkan.

Menurut Mohamad Rejab, dua menu istimewa itu dihasilkan sama seperti burger biasa cuma mini bersaiz lebih kecil manakala kek burger pula berukuran kira-kira 25 sentimeter seberat enam kilogram.

Katanya, kek burger yang dijual boleh dibuat bertingkat dengan salad, lobak, keju, sos lada hitam dan pati daging bersalut sos cili berkeju.

“Untuk mini dan kek burger, ia agak berbeza daripada burger biasa lain kerana dua menu itu menggunakan pati daging tanpa lemak berbanding menggunakan produk sejuk beku.

“Selain itu, roti juga dibuat sendiri oleh anak saudara saya. Sos cili berkeju dan mayonis turut dibuat menggunakan resipi sendiri bagi memberi kelainan rasa kepada pelanggan," jelasnya.

Dia menambah, satu set yang mempunyai 10 biji mini burger mengambil masa selama setengah jam untuk proses pembuatannya berbanding kek burger hanya mengambil masa 10 hingga 20 minit.

“Setakat ini tempahan kek paling jauh diterima adalah dari Melaka. Tidak kira jauh atau dekat, saya akan menyediakan kek di lokasi majlis bagi menjaga kualiti dan kesegaran burger," katanya.